
GWM HAVAL H6 HEV KINI HADIR DENGAN PHANTOM BLACK – NAIK TARAF WARANTI BATERI HIBRID
GWM HAVAL H6 HEV kini hadir dalam versi diperbaharui, menampilkan sentuhan baharu dari segi rekaan dalaman, prestasi jimat bahan api yang diiktiraf, dan komitmen jangka panjang terhadap waranti.
Versi terkini HAVAL H6 HEV kini boleh didapati dengan ruang dalaman eksklusif Phantom Black, yang memberikan suasana lebih premium dan sporty.
Gabungan kemasan lembut (soft-touch) serta aksen perak menonjolkan elemen elegan namun penuh karakter, tepat dengan citarasa pengguna Malaysia yang mengutamakan gaya dan keselesaan.
Selain itu, HAVAL H6 HEV kini secara rasmi diiktiraf dalam Rekod ASEAN sebagai model hibrid paling cekap bahan api.

Ia membuktikan prestasi sebenar dengan mencatat jarak melebihi 1,000km dalam satu tangki – sesuai untuk perjalanan jarak jauh tanpa perlu berhenti kerap untuk mengisi minyak.
Waranti Bateri Hibrid Dinaik Taraf – Kini Sehingga 10 Tahun
Untuk pemilik pertama, kenderaan ini dilindungi dengan waranti pengeluar selama 7 tahun atau 200,000 kilometer, mana-mana yang terdahulu. Waranti enjin pula dilanjutkan sehingga 10 tahun atau 1,000,000 kilometer.
Manakala bateri hibrid menikmati perlindungan selama 10 tahun atau 1,000,000 kilometer, dan sistem hibrid turut disokong dengan waranti selama 8 tahun atau 1,000,000 kilometer.
Menariknya, GWM turut menawarkan perlindungan kepada pemilik seterusnya. Pemilik kedua akan menikmati waranti pengeluar dan enjin selama 7 tahun atau 200,000 kilometer.

Waranti bateri hibrid kekal 10 tahun atau 1,000,000 kilometer, manakala waranti sistem hibrid diteruskan untuk tempoh 8 tahun atau sehingga 200,000 kilometer.
Penawaran ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada pembeli baharu, malah meningkatkan nilai jualan semula.
Haval H6 hibrid dibina berdasarkan platform LEMON dan mempunyai dimensi panjang 4,623mm, lebar 1,886mm, tinggi 1,730mm dengan jarak roda 2,738mm.
Model baharu ini mempunyai ruang kargo sebesar 560 liter dan mampu mencapai kapasiti sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Dari segi penggayaan, ia hadir dengan rim aloi 19-inci, jeriji ‘Star Matrix’ serta unit lampu LED matriks.
Di bahagian dalam, Haval H6 HEV mendapat kemasan upholsteri kulit pada tempat duduk, papan pemuka dan stereng selain, pelarasan tempat duduk elektrik 8-hala untuk pemandu.
Perincian lain termasuklah kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen skrin sentuh 12.3-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Dari segi kuasa, Haval H6 HEV dijana oleh enjin turbo 1.5 liter empat silinder dengan sokongan sistem hibrid, menghasilkan 145hp dan tork maksimum 230Nm, sementara kuasa gabungan motor elektrik berupaya menghamburkan kuasa 239hp dan tork 530Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua nisbah kelajuan.
Haval H6 HEV dibekalkan ciri keselamatan aktif dan pasif, termasuk 6 beg udara, kawalan kestabilan elektronik, bantuan menuruni bukit dan bantuan permulaan bukit serta kamera 360 darjah.
Ciri ADAS moden seperti brek kecemasan automatik, amaran perlanggaran ke hadapan, kawalan pelayaran adaptif, amaran berlepas lorong dan bantuan terus lorong didatangkan sebagai standard.
Untuk harga pula, ia boleh dimiliki pada harga bermula RM139,800.
GALERI:


















- BACA: iCAR V27 DIDEDAHKAN DI DUBAI – TAMPIL ELEGAN DENGAN KUASA SEKITAR 449HP
- BACA: GEELY GALAXY M9 BAKAL DILANCARKAN DI CHINA – HARGA BERMULA DARI RM163,000
- BACA: KTM BERI TUMPUAN PENUH KEPADA MOTOSIKAL, X-BOW BAKAL DIHENTIKAN
- BACA: PAJERO 2025? PROTOTAIP MISTERI CETUS SPEKULASI SUV IKONIK MITSUBISHI

