
ISU KESESAKAN, KERAJAAN TIADA HASRAT BUAT DASAR KAWAL JUMLAH KENDERAAN
Kerajaan tidak berhasrat membuat dasar mengawal jumlah kenderaan ketika ini walaupun isu kesesakan lalu lintas semakin meruncing terutama di Lembah Klang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata setakat ini kerajaan masih memberi tumpuan kepada langkah mitigasi khususnya ketika musim perayaan, namun realitinya jumlah kenderaan di negara ini meningkat setiap tahun.
“Jadi pada masa ini kita belum ada dasar untuk mengawal kenderaan. Kalau ada dasar untuk ‘end-of-life’ dan sebagainya nanti akan ada masalah lain, akan ada aduan lain.
“Jadi sementara ini kita belum ada apa-apa dasar dari segi pengawalan kenderaan tetapi untuk jangka masa panjang, kita kena melihat perkara ini untuk memastikan jumlah kenderaan terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Edaran Pek Cenderahati Kepada Penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di KL Sentral di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan dan Pengerusi KTMB, Datuk Ahmad Redza Abdullah;
Pada majlis itu, sebanyak 250 pek cenderahati berisi biskut dan kurma diedarkan kepada penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS).
Mengulas lanjut, Loke berkata, tahun lalu jumlah kenderaan yang berjaya dijual di negara ini adalah sebanyak 820,000 dan menjadikan Malaysia muncul sebagai pasaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara mengatasi Indonesia dan Thailand walaupun jumlah penduduk hanya sekitar 30 juta orang.
Katanya, peningkatan mendadak jumlah kenderaan persendirian juga menjadi faktor utama kesesakan lalu lintas, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara yang masih bersifat ‘car-centric’.
“Saya faham kesusahan rakyat kerana saya sendiri turut terperangkap dalam kesesakan, malah mengambil masa hampir dua jam untuk sampai ke destinasi di Lembah Klang.
“Namun realitinya, jumlah kenderaan semakin meningkat dan ini sesuatu yang perlu difahami semua pihak,” katanya.
Susulan itu beliau berkata, Kementerian Pengangkutan akan terus melaksanakan pelbagai langkah mitigasi melalui penambahbaikan pengangkutan awam termasuk penambahan perkhidmatan KTMB, ETS dan komuter, namun mengakui impaknya masih terhad.
Katanya, walaupun sudah menambah sehingga 50,000 kapasiti penumpang, ia masih kecil berbanding kira-kira dua juta kenderaan yang memasuki lebuh raya.
“Namun dalam masa beberapa bulan akan datang kita akan cuba percepatkan dan cuba membuka laluan Projek LRT Laluan Shah Alam (LRT3) sebagai satu daripada langkah mitigasi untuk memberikan pilihan kepada penumpang.
“Bukan kita tak nak buka (sekarang), kita juga nak buka LRT3 tetapi ada ujian yang perlu kita patuhi sebelum kita boleh membuka kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata, sempena perayaan Tahun Baharu Cina dengan penambahan tiga set ETS yang baharu, KTMB kini menyediakan 16 trip perkhidmatan ETS tambahan.
Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang beroperasi sepanjang tempoh Tahun Baharu Cina ini adalah sebanyak 58 trip sehari.
“Ini termasuk tambahan dua trip ke Padang Besar dengan jumlah tempat duduk yang ditawarkan sebanyak 5,040 yang mana penjualan tiket dibuka mulai jam 12.15 tengah malam tadi.
“Dua trip tambahan ini akan membuat perjalanan bermula 15 Februari sehingga 22 Februari menggunakan set ETS ke-8,” katanya. – Berita Harian









