
BOMBA: ELAK RISIKO KEBAKARAN, PENGECAS EV WAJIB DARIPADA PEMBEKAL DIIKTIRAF
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan pemilik kenderaan elektrik (EV) supaya hanya menggunakan pengecas yang dibekalkan oleh pembekal bertauliah dan mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, semua peralatan pengecasan EV perlu diperoleh daripada pembekal yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) serta memenuhi spesifikasi keselamatan tertentu bagi mengelakkan risiko kebakaran.
Menurutnya, pemasangan pengecas EV juga wajib mematuhi piawaian MS IEC 61851 dan MS IEC 62196, dengan pematuhan terhadap standard ini dipantau serta dikawal selia oleh ST.
Kenyataan itu dibuat susulan satu insiden kebakaran melibatkan dua buah EV yang diletakkan di anjung rumah, menyebabkan kira-kira 10 peratus kerosakan pada kediaman berkenaan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan. Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh Balai Bomba Damansara di Facebook, kenderaan terlibat dipercayai model XPeng G6 dan BYD Seal, dengan kebakaran berjaya dipadamkan menggunakan air.
Nor Hisham menjelaskan siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan tersebut tidak sedang dicas ketika kejadian berlaku.
Beliau turut menafikan spekulasi bahawa kebakaran berpunca daripada pengecas atau proses pengecasan, sebaliknya insiden itu berlaku beberapa jam selepas pengecasan selesai.
Tambah beliau, peraturan sedia ada ketika ini lebih tertumpu kepada pemasangan pengecas EV di kawasan awam. Sebarang cadangan untuk memperluaskan perlindungan perundangan, termasuk bagi pengecasan di kediaman persendirian, perlu dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (JKK Pemandu) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata pihaknya giat bekerjasama dengan ST, Tenaga Nasional Bhd (TNB) serta pemasang pengecas bertauliah bagi memastikan pengecasan di rumah dapat dilakukan dengan selamat dan mudah.
Hasil daripada sesi libat urus tersebut, katanya, ST dan TNB telah mengeluarkan garis panduan khusus untuk pemasangan pengecas EV di kediaman.
Individu atau syarikat yang tersenarai sebagai ‘orang kompeten’ oleh ST boleh memberikan nasihat berkaitan peralatan yang sesuai serta kapasiti bekalan kuasa yang tersedia.
Beliau turut menyarankan pemilik EV memasang pengesan asap berhampiran lokasi pengecasan dan melakukan pemeriksaan berkala, memandangkan sambungan wayar boleh menjadi longgar dari semasa ke semasa, sekali gus meningkatkan risiko pemanasan melampau.
Sehubungan itu, Shahrol menggesa pemilik EV agar mendapatkan khidmat pemasang profesional yang diperakui serta mematuhi semua cadangan diberikan, sambil menegaskan bahawa pemasangan yang betul, pemantauan berterusan dan penyelenggaraan berkala adalah langkah utama bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. – The Star
- BACA: YAMAHA DAN 4 SYKT BEKERJASAMA BANGUNKAN SISTEM PENANGKAPAN KARBON!
- BACA: MG BAWA DUA MODEL BAHARU KE THAILAND: SEDAN 751HP, PIKAP ELEKTRIK DENGAN JARAK GERAK 430KM
- BACA: HALANG LALUAN, TIGA KERETA ‘DISAGAT’ TRELER
- BACA: PINTU TAK BOLEH DIBUKA SELEPAS KEMALANGAN: CHINA TAMATKAN ERA PEMEGANG PINTU TERSEMBUNYI









