
CHINA AKAN HARAMKAN STERING YOKE MULAI TAHUN 2027
China bakal memperkenalkan standard keselamatan terbaru untuk kenderaan, yang akan mengharamkan penggunaan stereng gaya yoke, iaitu stereng separa bulatan seperti yang dipopularkan oleh Tesla di negara itu. Standard baharu ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan keselamatan pemandu semasa kemalangan dan dijangka berkuat kuasa pada 1 Januari 2027.
Menurut draf standard nasional baharu dengan siri GB 11557-202X yang diterbitkan oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT), stereng gaya yoke akan dikeluarkan daripada senarai reka bentuk yang dibenarkan kerana tidak boleh memenuhi syarat ujian impak yang ditetapkan pada rim stereng.
Dalam standard ini, stereng mesti lulus ujian impak pada 10 titik tertentu di sepanjang bulatan untuk menunjukkan perlindungan terhadap kecederaan pemandu. Bahagian atas stereng yang hilang pada reka bentuk yoke menyebabkan titik-titik ini tidak wujud secara fizikal, maka ia tidak dapat diuji mengikut kriteria baru tersebut.
Menurut data rasmi yang dirujuk oleh pihak berkuasa China, sekitar 46% daripada kecederaan pemandu semasa kemalangan berkaitan dengan mekanisme stereng itu sendiri. Reka bentuk stereng yoke memberi kurang kawasan perlindungan berbanding stereng tradisional bulat penuh, meningkatkan risiko kecederaan dalam situasi hentakan.
Langkah melarang stereng gaya yoke ini juga datang selepas China mengharamkan pemegang pintu elektrik tersembunyi (flush door handles) atas alasan keselamatan, menunjukkan kecenderungan pihak berkuasa untuk mengetatkan peraturan terhadap ciri reka bentuk kenderaan yang tidak konvensional.
Setakat ini tidak terdapat petunjuk bahawa pihak berkuasa di Amerika Syarikat atau negara lain akan mengambil langkah serupa dalam masa terdekat. Tesla masih menawarkan stereng jenis yoke pada beberapa modelnya, manakala jenama lain seperti Lexus juga memperkenalkan varian tersebut di pasaran selain China.

