
ISUZU D-MAX 2.2L BUKTIKAN KECEKAPAN, KELILING SEMENANJUNG DENGAN SATU TANGKI DIESEL
Isuzu Malaysia sekali lagi membuktikan kecekapan penggunaan bahan api model pikapnya apabila Isuzu D-MAX 2.2L generasi baharu berjaya menamatkan perjalanan mengelilingi Semenanjung Malaysia tanpa perlu mengisi semula diesel.
Pencapaian itu direkodkan menerusi cabaran “D-MAX One Tank, One Nation Challenge”, yang menyaksikan dua unit Isuzu D-MAX baharu menempuh perjalanan sejauh 1,756 kilometer merentasi pelbagai negeri dengan hanya menggunakan satu tangki bahan api.
Cabaran tersebut bermula di Balakong, Selangor pada 17 Ogos lalu sebelum melalui Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, sebelum menamatkan perjalanan di Pusat 3S Isuzu Jinjang, Kuala Lumpur pada 22 Ogos.

Lebih mengagumkan, kedua-dua kenderaan masih mempunyai baki diesel dalam tangki sebaik tiba di garisan penamat, sekali gus menunjukkan tahap kecekapan yang ditawarkan oleh enjin diesel turbo 2.2 liter baharu Isuzu.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo, cabaran itu diadakan bagi memperlihatkan kemampuan sebenar D-MAX dalam keadaan penggunaan harian yang realistik di Malaysia.
Katanya, laluan yang dipilih merangkumi pelbagai jenis permukaan jalan dan keadaan trafik termasuk lebuh raya, jalan persekutuan, kawasan berbukit, hujan serta kesesakan lalu lintas.

“Cabaran ini memberi peluang kepada kami untuk membuktikan keupayaan sebenar D-MAX 2.2L dalam situasi pemanduan dunia sebenar. Kami yakin dengan prestasi dan kecekapan model ini, dan hasil yang dicapai membuktikan kepercayaan tersebut,” katanya.
Enjin RZ4F-TC 2.2L yang digunakan pada D-MAX terbaharu dibangunkan bagi menawarkan keseimbangan antara prestasi, ketahanan dan penggunaan bahan api yang lebih rendah, selain membantu mengurangkan pelepasan karbon.
Dua varian yang digunakan dalam cabaran itu ialah D-MAX 4×4 Auto Premium dan D-MAX 4×2 Auto Plus. Kedua-duanya berjaya melengkapkan perjalanan dengan baki bahan api melebihi empat peratus walaupun menempuh laluan mencabar termasuk East-West Link yang menghubungkan Jeli dan Gerik.

Salah seorang pemandu cabaran tersebut, Sing Yuin Christy, yang pernah mencipta rekod pemanduan pikap paling jauh menggunakan satu tangki bahan api dalam Malaysian Book of Records, menyifatkan model 2.2L baharu itu lebih mudah dipandu dan lebih cekap berbanding pengalaman beliau dengan D-MAX 3.0L sebelum ini.
Menurutnya, kombinasi enjin baharu bersama transmisi automatik lapan kelajuan membolehkan penghantaran kuasa dilakukan dengan lebih lancar serta membantu mengurangkan penggunaan bahan api ketika memandu di lebuh raya.
Varian 2.2L TD 4×2 Auto Plus pula dibangunkan berasaskan model Standard tetapi tanpa sistem pacuan empat roda. Pengurangan berat sekitar 80 kilogram serta reka bentuk yang lebih ringan menyumbang kepada tahap kecekapan bahan api yang lebih baik.

Isuzu kini merupakan satu-satunya pengeluar trak pikap di Malaysia yang masih menawarkan varian 4×2, sekali gus memberi pilihan kepada pengguna yang lebih banyak menggunakan kenderaan mereka di jalan berturap dan untuk perjalanan jarak jauh.
Sempena cabaran tersebut, Isuzu Malaysia turut menganjurkan peraduan “Guess the Final Mileage” dengan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000.
Seorang peserta dari Kluang, Johor berjaya meneka jarak akhir perjalanan dengan tepat iaitu 1,756 kilometer dan membawa pulang baucar barangan runcit bernilai RM5,000.


