Buletin

ISUZU D-MAX 2.2L TEMPUH 1,605KM DI MALAYSIA TIMUR DENGAN SATU TANGKI DIESEL

Isuzu D-MAX 2.2L TD serba baharu membuktikan kecekapan penggunaan bahan apinya apabila berjaya menamatkan perjalanan sejauh 1,605 kilometer dari Sandakan, Sabah ke Kuching, Sarawak tanpa mengisi semula diesel.

Kejayaan itu dicapai menerusi cabaran “D-MAX One Tank. One Nation” anjuran Isuzu Malaysia yang menguji kemampuan dua unit trak pikap berkenaan merentasi laluan di Sabah dan Sarawak menggunakan hanya satu tangki bahan api.

Menariknya, perjalanan tersebut bukan sekadar melibatkan laluan lebuh raya yang rata, sebaliknya turut merangkumi jalan berbukit, kawasan pembinaan serta pendakian mencabar di Banjaran Crocker berhampiran Gunung Kinabalu.

Dua varian yang menyertai cabaran itu ialah D-MAX 4×2 AutoPlus dan 4×4 Automatic Premium. Kedua-duanya berjaya tiba di destinasi dengan baki diesel yang masih ada, manakala varian 4×2 AutoPlus menamatkan perjalanan tanpa lampu amaran bahan api rendah menyala.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo, cabaran berkenaan menjadi platform untuk membuktikan keupayaan sebenar D-MAX dalam keadaan pemanduan yang mencerminkan penggunaan harian pelanggan.

Beliau berkata, penjimatan bahan api perlu dinilai berdasarkan keupayaan kenderaan menghadapi pelbagai keadaan jalan, termasuk laluan sempit yang dikongsi bersama kenderaan berat, kawasan pembinaan dan jalan berbukit.

Konvoi berkenaan memulakan perjalanan dari bilik pameran Universal Motor Isuzu di Sandakan sebelum bergerak ke Telupid, yang menyaksikan kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sedang dijalankan.

Perjalanan diteruskan melalui laluan berbukit menuju Kundasang sebelum menuju ke Kota Kinabalu. Konvoi kemudian memasuki Sarawak melalui Brunei, dengan beberapa persinggahan di Miri, Bintulu, Sarikei dan Sibu sebelum menamatkan cabaran di Pusat 3S Jimisar Auto Niaga Isuzu di Kuching.

Secara keseluruhan, perjalanan itu meliputi jarak sejauh 1,605 kilometer dengan pelbagai keadaan muka bumi dan perubahan ketinggian yang menguji keupayaan enjin serta kecekapan penggunaan bahan api kedua-dua trak pikap tersebut.

Keupayaan itu disokong oleh enjin turbo diesel 2.2 liter baharu yang dibangunkan untuk menawarkan peningkatan dari segi kuasa, tork, kelancaran dan kecekapan bahan api.

Enjin berkenaan turut menghasilkan tork yang tinggi pada putaran rendah, membolehkan D-MAX mendaki laluan curam dengan lebih mudah tanpa perlu sentiasa menggunakan gear rendah. Ciri itu membantu mengimbangi prestasi dan penggunaan diesel ketika menghadapi laluan mencabar.

Sistem rangkaian kuasanya dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan baharu bagi memberikan penghantaran kuasa yang lebih lancar serta pengalaman pemanduan lebih selesa.

Kudo berkata, selain penjimatan bahan api, D-MAX 2.2L baharu turut menawarkan potensi pengurangan kos pemilikan menerusi ketahanan, produktiviti dan kadar cukai jalan yang lebih rendah.

Menurut beliau, gabungan ciri tersebut menjadikan model berkenaan pilihan yang relevan bagi pengguna persendirian serta sektor perniagaan yang memerlukan trak pikap berkeupayaan tinggi dengan kos operasi lebih terkawal.

Sepanjang cabaran berlangsung, Isuzu Malaysia turut mengadakan sesi bersama duta jenama D-MAX, Baki Zainal, di beberapa lokasi terpilih bagi berinteraksi dengan peminat dan mengagihkan cenderahati eksklusif.

Orang ramai juga berpeluang menyertai pertandingan meneka jarak perjalanan sebenar trak pikap berkenaan menerusi platform dalam talian, dengan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 termasuk baucar barangan runcit bernilai RM5,000.

Google ads
Back to top button