Buletin

GWM WEY G9 Hi4 HEV DILANCARKAN DI MALAYSIA – JARAK GERAK 845KM, HARGA RM249,800

GWM Malaysia secara rasmi melancarkan GWM WEY G9 Hi4 HEV baharu ke pasaran tempatan pada harga RM249,800, sekali gus menawarkan pilihan tambahan dalam segmen MPV mewah menerusi teknologi hibrid pengecasan kendiri.

Model terbaharu itu melengkapi GWM WEY G9 Hi4 PHEV yang sebelum ini mencatatkan penyerahan sebanyak 2,000 unit di seluruh negara. Berbeza daripada versi PHEV yang boleh dicas menggunakan sumber kuasa luaran, varian HEV menggunakan sistem hibrid tanpa memerlukan pengecasan luaran.

GWM WEY G9 Hi4 HEV menggabungkan enjin turbo 2.0 liter dengan sistem pacuan semua roda pintar Hi4 yang dikawal secara elektronik.

Sistem rangkaian kuasa itu menghasilkan kuasa gabungan 358PS (263kW) dan tork maksimum 782Nm.

Dari segi kecekapan, MPV itu mencatatkan penggunaan bahan api 6.5 liter bagi setiap 100 kilometer berdasarkan kitaran ujian NEDC, dengan jarak pemanduan gabungan sehingga 845 kilometer.

Sistem hibridnya menguruskan pengagihan kuasa antara enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik secara automatik mengikut keadaan pemanduan, bagi mengimbangi prestasi dengan penggunaan bahan api.

GWM WEY G9 Hi4 HEV mengekalkan susun atur tujuh tempat duduk dengan konfigurasi 2+2+3 yang direka untuk memenuhi keperluan keluarga serta pengguna yang mengutamakan keselesaan ketika perjalanan.

Tempat duduk barisan pertama dan kedua menggunakan kemasan kulit Nappa premium serta dilengkapi fungsi pengudaraan.

Pemandu dan penumpang barisan kedua turut menikmati fungsi urutan 10 titik, manakala tempat duduk kapten Zero Gravity di barisan kedua menawarkan perehat kaki elektrik dan pelarasan enam hala.

Bagi meningkatkan kepraktisan, MPV ini dilengkapi sistem rel tempat duduk fleksibel, tempat duduk barisan ketiga yang boleh dilipat ke hadapan serta laluan tengah yang luas. Kapasiti ruang bagasi pula boleh diubah mengikut konfigurasi tempat duduk, daripada 233 liter sehingga 1,725 liter.

Keselesaan kabin turut disokong sistem pembatalan hingar aktif HALOSonic, cermin hadapan akustik serta kaca akustik pada pintu barisan pertama dan kedua.

Sistem penyaman udara automatik tiga zon, penapis kabin CN95 dan teknologi penulenan plasma pula membantu meningkatkan kualiti udara dalam kabin.

Bahagian kokpit pula dilengkapi skrin infotainmen 14.6-inci, panel instrumen digital 12.3-inci serta paparan maklumat pemanduan pada cermin hadapan.

Sistem hiburan menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon tanpa wayar berkuasa 50 watt serta pengecaman suara enam zon. Sistem audio premium dengan 21 pembesar suara turut disediakan untuk melengkapkan pengalaman perjalanan.

Antara ciri kemudahan lain ialah pintu gelangsar berkuasa pada kedua-dua belah sisi, pintu but automatik dengan sensor, sistem kemasukan tanpa kunci dan fungsi penguncian automatik apabila pengguna meninggalkan kenderaan. Pemilik juga boleh mengawal fungsi kenderaan terpilih melalui aplikasi mudah alih GWM.

Bagi memudahkan pemanduan dan parkir, model ini dilengkapi cermin pandang belakang digital, kamera pandangan sekeliling 360 darjah dengan paparan casis lutsinar serta sistem parkir automatik sepenuhnya.

Aspek keselamatan diberikan perhatian menerusi enam beg udara SRS, termasuk beg udara tirai sisi sepanjang 3,107mm, selain pelbagai sistem bantuan pemandu pintar.

Antara kelengkapan yang disediakan ialah:

  • Kawalan Jelajah Adaptif Pintar dengan fungsi kawalan selekoh pintar.
  • Bantuan Pemanduan dalam Kesesakan Trafik (Traffic Jam Assist).
  • Bantuan Mengekalkan Kedudukan di Tengah Lorong (Lane Centre Keeping).
  • Bantuan Penukaran Lorong (Lane Change Assistance).
  • Sistem Pengesan Titik Buta.
  • Amaran Trafik Lintas Belakang dengan fungsi brek automatik.
  • Amaran Pembukaan Pintu.
  • Sistem Mitigasi Pelanggaran Sekunder.

Gabungan ciri berkenaan bertujuan membantu pemandu mengendalikan kenderaan dengan lebih yakin dalam pelbagai situasi, termasuk ketika menghadapi kesesakan lalu lintas dan perjalanan lebuh raya.

GWM WEY G9 Hi4 HEV ditawarkan pada harga runcit RM249,800, dengan pilihan warna luaran Aurora White, Wisdom Grey dan Nebula Black. Kabinnya pula menggunakan tema dalaman hitam dengan bumbung kelabu.

Pembeli turut menikmati pakej promosi pengenalan serta manfaat pemilikan seperti berikut:

  • Kadar pembiayaan: Serendah 0.08% melalui bank terpilih yang mengambil bahagian.
  • Bantuan tukar beli: RM5,000.
  • Penyelenggaraan percuma: Lima tahun, merangkumi kos upah dan alat ganti, bernilai RM11,200.
  • Waranti kenderaan: Enam tahun tanpa had perbatuan.
  • Waranti komponen elektrik: Lapan tahun atau 180,000 kilometer, mengikut mana-mana yang terdahulu, bagi bateri voltan tinggi, motor pacuan elektrik dan unit kawalan motor elektrik.
  • Perkhidmatan telematik: Percuma selama lima tahun.
  • Aksesori: RFID GWM Touch ‘n Go percuma.

Terma dan syarat promosi serta manfaat pemilikan tertakluk kepada ketetapan GWM Malaysia.

Dengan pengenalan varian HEV ini, GWM Malaysia memperluas pilihan dalam keluarga WEY G9 untuk pengguna yang mahukan sebuah MPV tujuh tempat duduk dengan rangkaian kuasa hibrid, kelengkapan keselesaan premium dan teknologi bantuan pemanduan tanpa perlu bergantung pada pengecasan luaran.

Google ads
Back to top button