Buletin

JANGAN LUPA VIOS CHALLENGE DI TERENGGANU MINGGU DEPAN!

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Kuala Terengganu akan menjadi lokasi pembukaan bagi siri perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival di Malaysia yang kini memasuki musim ke-3 penganjurannya.

Diadakan dalam litar jalanan yang dibina khas sepanjang 1.65 km di perkarangan stadium berkenaan di Gong Badak, acara itu akan berlangsung selama dua hari bermula 6-7 September 2019 (Jumaat & Sabtu) akan menampilkan aksi perlumbaan sengit antara selebriti, pelumba amatur serta profesional yang akan berentap di dalam tiga kategori berbeza (Promotional, Sporting dan Super Sporting) di dalam perlumbaan Vios Challenge.

“Toyota sudah mengecapi pelbagai kejayaan di dalam sukan permotoran, dan matlamat di sebalik penganjuran TGR Festival dan Toyota Vios Challenge ini adalah untuk membawa peminat serta pelanggan kami lebih dekat kepada produk yang ditawarkan dengan cara memanfaatkan kekayaan Toyota dalam sukan permotoran,” jelas Timbalan Pengerusi, UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Akio Takeyama.

“TGR Festival meraikan kejayaan Toyota dan Gazoo Racing di dalam sukan permotoran global, bermula dari pencapaian kami di dalam Rali Dakar dan Kejuaraan Rali Dunia hinggalah kepada kemenangan bersejarah di dalam 24 Hours of Le Mans. Semua itu ingin diterjemahkan untuk dimanfaatkan oleh orang ramai di sini,” tambah beliau.

Ini akan menjadi penganjuran kedua berturut-turut TGR di Kuala Terengganu, sebelum bertandang pula ke Lembah Klang dan Johor bagi tiga lagi pusingan. Perlumbaan festival ini melibatkan empat pusingan dengan lapan perlumbaan melibatkan lebih daripada 40 pemandu yang akan bersaing menggunakan satu jenis kenderaan yang sama, iaitu Toyota Vios, di dalam litar kekal dan binaan khusus.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K menjelaskan, TGR Festival dan Toyota Vios Challenge juga telah berkembang menjadi satu platform menarik yang mampu bagi pemandu-pemandu muda untuk mengasah bakat mereka sebelum mencapai tahap yang lebih tinggi dalam perlumbaan. Satu contoh terbaik untuk ini ialah Hayden Haikal berusia 15-tahun, yang telah berjaya naik ke perlumbaan kereta salon dari go-kart dalam rangka untuk menjadi pemandu paling muda yang pernah memenangi perlumbaan di dalam Toyota Vios Challenge.

“TGR Festival juga menjadi medan terbaik untuk membuktikan keupayaan kenderaan Toyota, terutamanya model Vios. Bagi Toyota, adalah sangat penting agar kenderaan kami bukan sahaja dapat memenuhi jangkaan pembeli hari ini, tetapi turut tahan lasak dan memberikan kepuasan memandu yang tinggi, prestasi serta kegembiraan kepada pemilik,” ujar Ravindran.

10 selebriti tempatan turut akan bersaing di dalam litar di Kuala Terengganu, dengan pelakon Diana Danielle akan mendahului sebagai juara bertahan.

Selebriti lain yang akan berlumba ialah Shukri Yahaya, Shawn Lee, Janna Nick, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Nabila Razali dan Wany Hasrita. Musim ke-3 ini turut menyaksikan dua pelumba selebriti baru yang akan ikut serta, iaitu Ain Edruce dan Syafiq Kyle. Akio Takeyama juga akan berlumba untuk musim ketiga berturut-turut.

“Ia telah menjadi satu perjalanan yang hebat untuk saya di dalam litar. Saingan dalam musim ke-2 sangat tegang dari awal hingga akhir ketika saya berjaya memenangi kejuaraan hanya dengan perbezaan enam mata. Pendekatan saya seperti biasa, untuk menghabiskan setiap perlumbaan dengan baik dalam satu-satu masa, terus konsisten dan menghindari sebarang masalah ketika di dalam litar,” jelas Diana.

“Memang ada tekanan kerena saya kini perlu mempertahankan kejuaraan. Tetapi saya berasa sangat selesa, terutama selepas dapat menyesuaikan diri dengan kereta lumba Vios baru yang lebih lasak dan mudah dikendalikan terutama di selekoh. Saya sangat yakin semua pemandu dalam kelas Promotional akan memberikan persembahan paling menarik sepanjang musim ini!” tambah Diana.

Saingan dalam kalangan selebriti juga dijangka akan lebih sengit dengan kembalinya Shukri Yahaya dan Shawn Lee ke dalam kategori Promotional selepas berlumba di dalam kategori Sporting pada musim lalu.

“Berlumba dalam kategori Sporting memang sangat sengit, tetapi Shukri dan saya banyak belajar daripada barisan pelumba yang lebih berpengalaman. Itu telah membantu kami menjadi pemandu yang lebih kental,” ujar Shawn.

Kategori Sporting bakal menyaksikan bakat menakjubkan, Haydan Haikal kembali untuk siri perlumbaan musim keduanya dan akan disertai oleh antaranya Kenneth Koh yang menduduki tempat ketiga musim lalu, serta Dato’ Ken Foo yang meraih tempat kelima keseluruhan bagi musim kedua.

Sementara itu, kategori Super Sporting pula bakal menyaksikan persaingan antara dua bekas juara; di antara Boy Wong akan kembali sebagai juara bertahan musim kedua, serta Tengku Djan Ley yang merupakan juara musim pertama. Akan ikut serta ialah William Ho yang menduduki tempat kedua bagi kedua-dua musim sebelum ini, serta Brendan Paul Anthony yang menduduki tempat ketiga keseluruhan musim lalu dan tidak ketinggalan, Kenny Lee.

Bagi peminat sukan permotoran di Kuala Terengganu, terdapat banyak lagi aktiviti yang akan memeriahkan suasana sepanjang acara ini berlangsung. Antaranya ialah pameran dan sesi pandu uji kenderaan baru Toyota, persembahan drift oleh pemandu Jepun yang dibawakan oleh Toyo Tires, cabaran perlumbaan simulator, permainan pentas dan persembahan oleh selebriti, aktiviti promosi, cabutan bertuah, jualan cenderahati serta sesi tandatangan peminat untuk memberi peluang kepada pengunjung mendekati barisan pelumba selebiriti yang terlibat.

TGR Festival dan Toyota Vios Challenge akan bermula dari 9 pagi Jumaat (6 September 2019) hingga Sabtu (7 September 2019). Masuk percuma!

Google ads
Back to top button