Motosikal

MOTOGP BRITISH: “SAYA KURANG YAKIN, TAKUT JATUH LAGI”-HAFIZH

Perlumbaan di litar Silverstone, British semalam merupakan pusingan yang paling dramatik dalam kalendar MotoGP tahun ini. Kemenangan saat akhir Alex Rins menjadi kemenangan epik sekaligus berjaya mengenepikan dominasi Marc Marquez di sepanjang musim 2019.

Dovizioso merempuh Quartararo yang terbabas di permulaan grid, Vinales berjaya mengutip mata penting merapatkan jurang untuk podium ketiga dan pelumba KTM Factory – Johann Zarco berlanggar dengan pelumba KTM Satelit – Oliveira di lap ke-10 dalam misi menamatkan perlumbaan di tempat terbaik.

Pun begitu, pelumba negara Hafizh Syahrin berjaya menamatkan perlumbaan dengan cemerlang. Mengutip tiga mata berharga setelah dua kali berturut-turut tidak menamatkan perlumbaan memberi makna besar  buat pelumba KTM Tech 3 ini.

“Ia sukar dan perlumbaan yang panjang. Saya berasa sedikit tidak selesa sebelum perlumbaan bermula kerana saya mengaku, saya kurang yakin,” Ujar Hafizh.

“Saya bimbang jatuh lagi. Kalau jatuh maknanya ia tiga kali berturut-turut. Jadi pada peringkat awal perlumbaan saya cuba untuk menunggang dengan berhati-hati, malangnya saya tak dapat rentak yang baik. Ia agak susah.

“Tapi selepas lap ke-10, saya mula dapat rentak sikit demi sedikit. Saya berjaya buat pusingan terpantas pada lap terakhir.

“Saya benar-benar minta maaf pada semua orang sebab kali ini saya berasa kurang yakin. Tapi yang pasti, saya akan buat lebih baik di Misano. Saya akan bekerja keras untuk bina keyakinan, juga waktu latihan, ia banyak membantu saya.

Google ads
Back to top button