
JENTERA WRC27 DAN RALLY2 AKAN BERAKSI BERSAMA MUSIM WRC 2027. BOLEH BERSAINGKAH NANTI?
Selepas tamat kempen perlumbaan FIA World Rally Championship (WRC) penghujung tahun 2026 nanti, dua rali sekali lagi akan menyaksikan perubahan yang agak ketara membabitkan perubahan regulasi membabitkan jentera dalam kelas utama. Perubahan ini sememangnya harus dibuat demi memastikan perlumbaan rali ini kekal relevan dari masa ke semasa, baik untuk penggiat mahu pun peminat.
Untuk rekod, pengenalan jentera baharu Rally1 yang hadir dengan unit hibrid telah pun mula diperkenalkan bermula tahun 2022 dengan membabitkan tiga buah jentera utama, Toyota GR Yaris Rally1, Hyundai i20 N Rally1 dan juga Ford Puma Rally1.

Kesemua jentera Rally1 ini dibina berdasarkan casis tubular space frame yang mana kemudiannya ianya dipasangkan dengan kit badan luaran yang menyerupai mana – mana model jalanan setiap pengeluar. Itulah syaratnya.
Dan untuk tahun 2026, kitaran hayat jentera Rally1 bakal tamat dengan pengenalan kod jentera WRC27 akan mula diperkenalkan. Paling penting, kos pembinaan WRC27 ini akan lebih murah dan jimat berbanding pembinaan Rally1 yang mencecah sehingga €500,000 (RM2,382,100) berbanding hanya €345k,000 (RM1,643,649).

Paling penting, bermula tahun 2027 kelak, jentera rali yang beraksi dalam kelas WRC2 ketika ini juga boleh beraksi dalam kelas utama yang pastinya menarik perhatian jentera dalam kelas kedua WRC2 Skoda Fabia RS Rally2 untuk kembali beraksi ke pentas utama.
Setakat ini, hanya Toyota sahaja yang menyatakan komitmen mereka bahawa mereka akan menyediakan sebuah jentera baharu WRC27 untuk beraksi pada tahun 2027 nanti namun tidak dapat dipastikan berdasarkan model apakah jentera baharu tersebut. Tidak mungkin mereka akan menggunakan GR Yaris sekali lagi kerana kitaran hayat model tersebut juga sudah hampir berada di penghujungnya.
Manakala pasukan Hyundai Motorsport sahih tidak akan membina jentera baharu khusus untuk WRC2 namun Prinsipal mereka Cyril Abiteboul memberikan idea bahawa berlumba dengan jentera Hyundai i20 N Rally2 adalah pilihan yang dilihat lebih ideal.

Dilema yang sama juga membabitkan pasukan M-Sport Ford yang juga menyatakan menyediakan sebuah jentera baharu tidak berada dalam perancangan mereka dan juga Ford. Sudah pasti berlumba dengan jentera Ford Fiesta Rally2 adalah pilihan yang mereka ada ketika ini.
Menurut Ketua Teknikal dan Keselamatan FIA Xavier Mestelan pastinya terdapat perbezaan diantara jentera spesifikasi WRC27 dengan WRC2 dengan nisbah berat akan menjadi pemisah diantara keduanya walau pun menggunakan enjin yang serupa.
Begitu juga dengan perkara kecil seperti aerodinamik mahu pun teknologi wishbone yang pastinya akan memberikan dua spesifikasi yang berbeza terhadap keduanya. Walau pun kelebihan mungkin pada jentera yang lebih laju, akan tetapi perlumbaan rali ini bukanlah laju semata. Yang penting menamatkan perlumbaan dengan jayanya.


