Buletin

KABIN SMART #6 EHD DIDEDAHKAN – BAKAL DEBUT DI BEIJING AUTO SHOW

Smart mendedahkan imej dalaman bagi model baharu #6 EHD menjelang penampilan sulung awamnya di Beijing Auto Show.

Model sedan bersaiz pertengahan ini menggunakan sistem plug-in hibrid 1.5 liter turbo dan mampu bergerak sehingga 285km secara elektrik sepenuhnya mengikut standard CLTC. Pelancarannya dijangka berlangsung sekitar pertengahan tahun 2026.

Rekaan kabin mengekalkan identiti keluarga Smart dengan susun atur dwi-skrin yang terdiri daripada paparan infotainmen tengah serta skrin hiburan penumpang hadapan.

Sistem audio 20 pembesar suara daripada Sennheiser dengan konfigurasi 7.1.4 dan kuasa melebihi 2,000W turut ditawarkan, termasuk pembesar suara tengah jenis terapung.

Bahagian dalam juga menampilkan corong pendingin hawa berinspirasikan turbin pesawat dengan struktur 3D tujuh lapisan.

Pencahayaan ambien melibatkan hampir 800 titik lampu dengan 26 zon berbeza serta sokongan 256 pilihan warna. Tempat duduk pula menggunakan kemasan quilting komposit HDD bersama balutan kulit Nappa.

Tiga pilihan warna dalaman ditawarkan iaitu Grid Yellow, Shadow Black dan Wild Brown, sementara rekaan luaran model ini diinspirasikan daripada bentuk jerung, termasuk bahagian hadapan dengan konsep “bionic shark nose through-channel”.

Di bahagian belakang pula, ia dilengkapi spoiler boleh laras secara elektrik. Model ini turut hadir dengan pilihan rim 19 atau 20-inci serta dilengkapi LiDAR bersama perkakasan penderiaan lain.

Selain itu, #6 EHD menggunakan penyerap hentak pemboleh ubah FSD, tayar prestasi tinggi Continental EC7S dan teknologi stereng gelung tertutup daripada ZF.

Sistem kuasa plug-in hibrid menggabungkan enjin 1.5T berkuasa 120kW (161hp) dengan output sistem keseluruhan mencecah 320kW (429hp), dipadankan transmisi DHT tiga kelajuan khusus hibrid.

Menurut pemfailan Ministry of Industry and Information Technology (MIIT) China, model ini akan ditawarkan dengan dua kapasiti bateri iaitu 20kWh dan 41.46kWh.

Versi bateri lebih besar mampu mencapai jarak elektrik 285km (CLTC), manakala jarak gabungan keseluruhan dianggarkan sehingga 1,810km.

Google ads
Back to top button