
MAZDA POWER, 8 MODEL TERIMA PUJIAN KESELAMATAN IIHS
Mazda mungkin bukan jenama automotif paling popular di Amerika Syarikat, tetapi dari sudut keselamatan Mazda sebenarnya antara yang paling konsisten dan serius dalam industri automotif. Malah, jenama dari Jepun ini kini sedang membina reputasi sebagai salah satu pengeluar kereta paling selamat di pasaran Amerika.
Baru-baru ini, Mazda diiktiraf sebagai jenama paling selamat dalam penilaian “Safety Verdict” oleh Consumer Reports menerusi ujian protokol IIHS. Penilaian ini bukan sekadar bergantung kepada ujian pelanggaran, tetapi mengambil kira pelbagai faktor seperti keupayaan membrek, kawalan kenderaan dalam situasi kecemasan, serta keberkesanan ADAS dalam mengelakkan kemalangan.
Apa yang membezakan Mazda dengan jenama laian ialah pendekatan Mazda yang tidak hanya bergantung kepada teknologi semata-mata. Sebaliknya Mazda menggabungkan kejuruteraan casis, talaan stereng dan sistem brek supaya kereta lebih mudah diagak dan mudah dikawal.
Dalam erti kata lain, Mazda percaya kereta yang selamat bukan sekadar kuat ketika kemalangan, tetapi mampu membantu pemandu mengelakkan kemalangan sejak awal lagi dengan kawalan stering, brek dan dinamik pemanduan yang bagus.
Pendekatan ini terbukti berkesan apabila Mazda berjaya meraih jumlah anugerah keselamatan tertinggi daripada Insurance Institute for Highway Safety (IIHS). Untuk tahun 2025 sahaja, Mazda memperoleh lapan anugerah Top Safety Pick+ iaitu pengiktirafan tertinggi dalam industri, mengatasi kebanyakan jenama lain.
Lebih menarik, pencapaian ini bukan hanya terhad kepada satu atau dua model flagship sahaja. Sebaliknya, hampir keseluruhan barisan model Mazda termasuklah sedan kompak seperti Mazda3 dan SUV seperti CX-30, CX-50, CX-70 hingga CX-90 menerima penarafan keselamatan tertinggi.
Ini menunjukkan bahawa fokus keselamatan Mazda bukan sekadar pemasaran, tetapi diterapkan secara menyeluruh dalam semua model. Sebagai contoh semua varian Mazda CX-90 termasuk versi PHEV turut menerima penarafan tertinggi dalam pelbagai ujian pelanggaran IIHS termasuklah ujian impak sisi dan pelanggaran hadapan yang ketat.
Selain struktur badan yang kukuh, Mazda juga memberi perhatian besar kepada teknologi bantuan pemandu melalui sistem i-Activsense. Sistem ini menggunakan radar dan kamera untuk mengesan bahaya, memberi amaran kepada pemandu, dan dalam sesetengah keadaan, membantu mengelakkan pelanggaran atau mengurangkan impaknya.
Apa yang menarik ialah falsafah Mazda tentang keselamatan juga berkait rapat dengan konsep “human-centric”. Segala kawalan seperti stereng, brek dan respons kenderaan direka supaya lebih intuitif dan selari dengan naluri manusia. Ini penting kerana dalam situasi kecemasan, tindak balas pemandu yang pantas dan tepat boleh menjadi faktor penentu antara kemalangan dan keselamatan.
Mazda kini bukan sekadar jenama yang fokus kepada driving feel, tetapi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam aspek keselamatan. Dengan gabungan kejuruteraan pintar, teknologi moden dan pendekatan yang memfokuskan kepada pemandu, Mazda membuktikan bahawa keselamatan tidak perlu mengorbankan keseronokan memandu.

