Buletin

KELONGGARAN INDIVIDU LENGKAP 2 DOS VAKSIN AKAN DIUMUM ESOK ATAU LUSA

Kerajaan akan mengumumkan kelonggaran pergerakan kepada individu yang sudah melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19 pada esok atau lusa. Ini kerana kerajaan dalam peringkat akhir untuk memutuskan perincian kelonggaran berkenaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mobil Felda Lenga Batu 27, di Pagoh, Johor.

“Esok atau lusa saya akan buat pengumuman yang ditunggu-tunggu ramai, membabitkan mereka yang sudah dapat dua dos vaksin. Contoh kelonggaran dan kemudahan yang akan diberi, termasuk membabitkan rentas negeri atau daerah, nak jumpa ibu bapa, suami isteri terpisah atau anak, itu kita akan putuskan.

“Selain itu sektor sosial seperti ‘dine in’ (makan di kedai makan) nak duduk makan bersama keluarga. Maka jika diumumkan kelonggaran nanti restoran akan dibenarkan dibuka dan akan diputuskan sehari dua ini,” katanya.

Beliau yang meluangkan masa kira-kira setengah jam di situ turut menyampaikan sumbangan makanan basah kepada wakil masyarakat Felda Moakil yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 14 hingga 27 Julai lalu, di lokasi sama.

Pada 15 Julai lalu, kerajaan dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19. Langkah itu bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat ketika kerajaan menguruskan pandemik itu.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat kelonggaran diberikan kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin bukan pasport mengabaikan prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan.

“Saya cuma nak ingatkan kita masih belum sampai nilai ambang atau imuniti kelompok. Walaupun ada keterbukaan dan kelonggaran akan diberi, nasihat atau peringatan sentiasa berwaspada perlu diberi kerana warga kita masih belum divaksin 100 peratus,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button