Motosikal

LEGEND MOTOGP VALENTINO ROSSI UMUM BERSARA HUJUNG MUSIM

Juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi mengesahkan bakal bersara daripada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila tamat saingan musim ini.

Rossi yang merupakan legenda dalam sukan pemotoran mendedahkan hasrat tersebut pada sidang akhbar Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull Ring.

Ikon Itali mewakili pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) itu mengakhiri khabar angin sejak beberapa bulan lalu bahawa dia ingin mengakhiri kerjaya dalam MotoGP.

Pelumba yang mendapat jolokan The Doctor melakar sebanyak 115 kemenangan termasuk rekod 89 kemenangan di 89 di MotoGP, 235 podium termasuk 199 di MotoGP yang juga rekod, serta karier terpanjang dilakukan pelumba dalam kelas perdana sukan itu.

Pada permulaan karier profesional selama 26 tahun, Rossi bermula dengan kelas 125cc bersama Aprilia pada 1996.

Dia memenangi gelaran pada musim berikutnya sebelum menyertai kelas 250cc dan melakar gelaran dunia bersama Aprilia pada 1999.

Di kelas tertinggi pula, pelumba berusia 42 tahun itu muncul naib juara pada musim pertama pada 2000 sebelum menang gelaran dunia dalam format terakhir 500cc setahun kemudian bersama Honda.

Rossi menang enam lagi gelaran bersama kelas baharu MotoGP pada 2002, 2003, 2004, 2005, 2008 dan 2009 iaitu gelaran pertama bersama Honda dan selebihnya bersama Yamaha.

“Saya sudah kata sebelum ini bahawa akan mengumumkan mengenai perancangan masa depan selepas tamat cuti musim panas baru-baru ini.

“Saya mengambil keputusan untuk bersara apabila berakhir saingan MotoGP musim ini,” katanya pada sidang akhbar tersebut.

Dia menambah, musim ini merupakan tahun terakhir sebagai pelumba MotoGP.

“Ia sangat sukar malah merupakan momen sangat menyedihkan kerana mengetahui saya tidak akan berlumba dengan motosikal lagi.

“Saya telah melakukan perkara ini lebih 30 tahun dan pada tahun hadapan kehidupan saya akan berubah,” katanya.

Bagaimanapun, Rossi memberitahu ia sesuatu menakjubkan dan mengharungi kerjaya yang sangat menyeronokkan.

“Saya tidak akan melupakan momen bersama semua pasukan dan tenaga kerja yang berusaha keras sepanjang karier,” katanya.– autosport/visordown

Google ads
Back to top button