Buletin

KERETA PRODUKSI PALING LAMA DI DUNIA SEBENARNYA DARI CHINA

Industri automotif China sebenarnya agak unik kerana tidak banyak dunia luar yang arif tentangnya. Pada masa ini kami dimaklumkan terdapat lebih 300 jenama pengeluar kereta dan beratus lagi syarikat ‘start-up’ yang terlibat dengan industri automotif terbesar dunia itu.

Jualan kenderaan China mencecah hampir 30 juta unit setahun dan hampir setiap hari ada sahaja model baru yang diperkenalkan.

Uniknya juga, setiap jenama yang ingin dijual di China perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan dan bukan itu sahaja, tidak semua model-model global pengeluar dunia dipasarkan sama dengan spesifikasi China.

Pasaran China hari ini ialah tentang kereta yang besar dan panjang (long wheel base) serta dengan grill hadapan bersaiz gergasi dan papan instrumentasi dengan panel monitor sebesar yang mungkin.

Tapi, selain kereta-kereta moden yang dapat anda lihat seperti Proton X70, China mempunyai sejarah automotif yang menarik.

Kami melihat foto SUV ini dan terbaca bahawa ianya dikeluarkan oleh BAW atau Beijing Automobile Work yang dahulunya dikenali sebagai Beijing Jeep BJ212.

Apa istimewanya BJ212?

Asalnya ia dibina untuk keperluan ketenteraan, namun BAW juga menghasilkannya untuk jualan domestik. Model asalnya dibuat pada tahun 1965 dengan enjin 2.4 liter petrol empat selinder dan pacuan empat roda.

BJ212 ini juga masih dikeluarkan sehingga hari ini dengan menggunakan kerangka yang sama.

Ya. platform yang sama selepas 54 tahun!

Ia adakah ikon di China. BAW mendakwa ia adalah kenderaan produksi paling lama di dunia dan mereka juga mungkin betul kerana jenama-jenama seperti Golf, Corolla dan 911 sudah bertukar kerangka meskipun mengekalkan nama.

Sama seperti Beetle dan Mini. Model asalnya tidak diproduksikan lagi.

Bagaimana ia boleh bertahan?

BJ212 masih dihasilkan dalam kuantiti yang kecil sementara model-model selepasnya menggunakan platform baru dengan versi lebih moden.

Ketika model barunya didatangkan dengan ciri yang lebih moden, BJ212 kekal dengan konsep yang sama sepertimana dihasilkan pada 1965, mereka mengekalkan sebolehnya ciri klasik termasuklah dial meter dan suis kawalan yang digunakan.

Namun jika anda perhatikan sistem audionya, mesikpun rekaannya klasik, ia tetap ada ciri seperti kemasukan USB dan capaian kad memori. Digital tapi klasik.

Bagaimanapun model ini telah menerima enjin baru yang terpaksa digantikan untuk memenuhi keperluan standard Emisi ke-6 China. Enjin 1.5 turbo tersebut menghasilkan 136 kuasa kuda dan 200Nm tork yang digandingkan dengan transmisi manual 5 kelajuan dan pacuan empat roda.

GALERI

Google ads
Back to top button