Buletin

HAFIZH BERPELUANG KEMBALI KE MOTOGP – CEO SIC

Berita kemasukan Brad Binder bagi menggantikan Hafizh Syahrin dalam kelas premier MotoGP tahun hadapan mencetuskan perasaan terkilan di kalangan majoriti peminat motosikal tempatan.

Meskipun bergelut dengan kemampuan jentera KTM yang tak konsisten, Hafizh dilihat mempamerkan aksi yang semakin bagus pada setiap pusingan pada musim ini.

Kini, setelah Brad menandatangani kontrak kelas premier MotoGP, maka kedudukan Hafizh sudah jelas, beliau akan disingkirkan dari kem KTM Tech 3 meskipun baru satu musim bersama jentera tersebut.

Brad Binder yang merupakan juara Moto3 tahun 2016 akan menemani Oliviera yang juga merupakan rakan sepasukannya ketika bertarung dalam kelas Moto2 pada 2017 dan 2018.

Ketika ramai “berduka” dengan berita penyingkiran Hafizh dari kem Tech3, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali yang merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Hafizh ke peringkat tertinggi dalam perlumbaan paling berprestij di dunia itu tampil memberi kenyataan.

Toyota Avanza – MREC – Desktop

Beliau yakin Hafizh akan kekal beraksi di pentas kejuaraan dunia dan berharap semua peminat bertenang.

“Seperti biasa pada cuti rehat musim panas, ia adalah satu tempoh yang menyaksikan adanya pelumba masuk dan keluar daripada pasukan untuk musim 2020 dan saya yakin Hafizh akan kekal dalam Kejuaraan Motosikal Dunia.

“Namun sama ada dia kekal dalam kelas premier, itu mungkin agak sukar kerana buat masa ini tiada tempat kosong untuk beliau.

“Tapi, masih ada beberapa peluang dan tawaran untuk Hafizh di kelas Moto2. Saya pasti Hafizh akan membuat keputusan tepat berdasarkan keadaan ketika ini dan kami di SIC akan melakukan yang terbaik untuk membantunya,” kata Razlan. 

Hafizh memulakan karier profesional dalam kelas premier tahun lalu bersama pasukan yang sama Tech3 namun dengan jentera berbeza – Yamaha.

Ini adalah tahun pertama beliau menunggang KTM dan sebagaimana rakan sepasukannya Johann Zarco, beliau menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan jentera baru itu.

Bukan sahaja Hafizh, malah prestasi Zarco sendiri merudum teruk ketika menunggang KTM sedangkan tahun lalu beliau diramal menjadi pesaing Marquez dalam kelas premier.

KREDIT: BERITA HARIAN

Tags
Google ads
Back to top button