
LEPAS RANCANG PERLUAS RANGKAIAN DI MALAYSIA, SASAR DEBUT PASARAN 2026
Jenama automotif baharu, LEPAS, mengumumkan pelan peluasan rangkaian pengedar dan pusat servisnya di Malaysia sebagai persediaan menjelang pelancaran rasmi pada separuh pertama tahun 2026.
LEPAS Malaysia menyasarkan pembukaan 20 cawangan jualan dan servis di lokasi strategik seluruh Semenanjung serta Malaysia Timur, sebelum diperluaskan kepada 30 cawangan menjelang akhir 2026.
Barisan model yang akan diperkenalkan terdiri daripada SUV L4, L6 dan L8, yang dibangunkan menggunakan platform global kenderaan tenaga baharu (NEV) terkini milik Kumpulan Chery.
Platform ini menyokong pelbagai pilihan trenkuasa termasuk enjin pembakaran dalaman, hibrid dan elektrik sepenuhnya.

Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo, berkata LEPAS disasarkan kepada generasi moden yang mementingkan keseimbangan antara kerjaya, keluarga dan gaya hidup, serta mengharapkan kenderaan mencerminkan citarasa peribadi mereka.
“Ketika kami bersiap sedia untuk memasuki pasaran Malaysia pada 2026, keutamaan kami adalah memastikan setiap pelanggan menikmati gabungan reka bentuk halus dan teknologi yang boleh dipercayai. Pembinaan rangkaian ini melambangkan komitmen jangka panjang kami di negara ini,” katanya.
LEPAS turut disokong oleh hampir tiga dekad pengalaman pembuatan Kumpulan Chery, termasuk keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta rantaian bekalan global.
Sebagai sebahagian daripada pengenalan jenama, LEPAS akan membuka sebuah Lifestyle Experience Center di Lembah Klang, yang menampilkan ruang pameran interaktif bagi memperkenalkan konsep teknologi dan gaya hidup.
Di peringkat global, LEPAS kini sedang memperluaskan kehadirannya ke pasaran Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara, dengan Malaysia antara negara terawal di rantau ini menerima jenama berkenaan.




