Buletin

CHERY MAHU HASILKAN BANYAK MODEL KOMPAK MAMPU MILIK. SAINGI PROTON DAN PERODUA DI MALAYSIA

Chery International, pengeluar automotif terkemuka dari China baru-baru ini mengumumkan hasrat untuk melancarkan model kereta kompak baharu yang disasarkan untuk pasaran antarabangsa menjelang akhir tahun 2025.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi global Chery untuk memperluaskan penawaran produknya dan memenuhi permintaan pengguna di pelbagai pasaran di seluruh dunia.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Presiden Chery, Zhang Guibing semasa acara Chery International User Summit di Wuhu, China bulan lalu.

Di sana, Chery mendedahkan bahawa jualan kenderaan kompak di peringkat global (tidak termasuk China, Amerika Utara dan Korea) mencecah 40 peratus. Sebagai perbandingan, Toyota menghasilkan 37 peratus kereta kompak, Hyundai 63 peratus dan Chery hanya 10 peratus. 

Bagi meningkatkan penghasilan model kompak, Chery merancang untuk menggunakan satu platform sama yang dikenali sebagai platform+PT bagi empat jenama berbeza iaitu Chery, Omoda Jaecoo fan LEPAS. Kenderaan tersebut kemudian dibahagikan kepada tiga saiz berbeza iaitu 4,200mm, 4,000mm dan 3,800mm panjang. 

Chery akan menghasilkan model T3, T2 dan T1; Omoda dengan model C3, C2 dan C1; Jaecoo menerusi model J3, manakala LEPAS bakal tampl melalui model L3, L2 dan L1. Bukan sahaja ditawarkan pada harga kompetitif, malah model-model itu menjanjikan pemanduan yang mengujakan. 

Walaupun menggunakan platform dan rangkaian kuasa yang sama, setiap sub jenama tersebut akan hadir dengan identiti serta rekaan tersendiri.

Ia dapat dilihat dengan jelas pada model Omoda 3 yang telah dipertontonkan kepada umum pada acara Shanghai Autoshow 2025. Mempunyai saiz lebih kecil berbanding Omoda 5, reka bentuk luaran Omoda 3 nampak lebih garang dengan garis-garis tajam.  

Dengan pelancaran model kompak baharu dan pengembangan operasi di pelbagai pasaran, Chery International menunjukkan komitmen mereka untuk menjadi pemain utama dalam industri automotif global. Usaha ini dijangka dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mencari kenderaan kompak yang berkualiti, berteknologi tinggi dan mesra alam.

Google ads
Back to top button