Buletin

MERCEDES-MAYBACH SL 680 MONOGRAM SERIES KINI DI MALAYSIA – ANGGARAN HARGA RM2.25 JUTA

Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series, sebuah model roadster dua tempat duduk yang menggabungkan prestasi tinggi dengan kemewahan eksklusif.

Model ini menampilkan interpretasi baharu terhadap legenda SL dengan sentuhan Maybach yang menekankan keselesaan, kemewahan dan pengalaman pemanduan terbuka yang lebih istimewa.

Ditawarkan dalam dua tema reka bentuk, varian Red Ambience menggabungkan warna Obsidian Black Metallic dengan MANUFAKTUR Garnet Red Metallic, manakala White Ambience menampilkan padanan Obsidian Black Metallic dan MANUFAKTUR Opalite White Magno.

Kedua-dua pilihan warna menyerlahkan identiti elegan serta eksklusif yang sinonim dengan jenama Maybach.

Dari sudut luaran, model ini dibezakan menerusi gril hadapan bercahaya dengan kemasan krom, tulisan MAYBACH, serta bonet khas yang menampilkan corak Maybach dalam kemasan Graphite Grey. Proses penghasilannya melibatkan beberapa peringkat kerja tangan yang teliti bagi memastikan kemasan premium yang sempurna.

Lampu hadapan turut menerima sentuhan mewah menerusi elemen kemasan warna emas ros, manakala bampar hadapan direka semula bagi memberikan penampilan lebih lebar dan berprestij.

Rangka cermin hadapan serta beberapa bahagian badan lain menggunakan kemasan krom berkilat yang menambah lagi aura eksklusif.

Selain itu, bumbung fabrik lembut dengan penebat akustik dipadankan dengan corak Maybach yang disepadukan secara halus. Bahagian belakang pula dilengkapi lampu khas dengan logo Maybach, diffuser unik serta kemasan ekzos eksklusif.

Reka bentuk ‘double scoop’ di belakang tempat duduk bukan sahaja meningkatkan aerodinamik malah memperkukuh identiti roadster mewah ini.

Di dalam kabin, suasana mewah diterjemahkan menerusi penggunaan kulit Nappa putih kristal yang meliputi tempat duduk, panel pintu dan konsol tengah. Tempat duduk menampilkan corak floral baharu, sementara kemasan mikro gentian MICROCUT putih kristal pada bumbung menambah sentuhan premium.

Paparan instrumen digital bersaiz 12.3-inci dan skrin infotainmen 11.9-inci hadir dengan animasi serta paparan grafik eksklusif Maybach. Turut disertakan ialah stereng gabungan kayu dan kulit, pedal keluli tahan karat serta ambang pintu bercahaya dengan tulisan Maybach.

Bagi memastikan keselesaan maksimum ketika memandu secara terbuka, sistem AIRSCARF membekalkan aliran udara panas ke bahagian leher dan tengkuk penumpang.

Selain itu, pakej ENERGIZING Package Plus menawarkan fungsi urutan, kawalan suhu tempat duduk serta pencahayaan ambien yang diselaraskan bagi meningkatkan keselesaan sepanjang perjalanan.

Sistem audio Burmester® High-End 3D Surround Sound, paparan head-up display dan karpet mewah berbulu tebal turut melengkapkan pengalaman kabin yang lebih eksklusif.

Secara mekanikal, kuasa dijana oleh enjin V8 biturbo 4.0 liter yang dipadankan dengan transmisi automatik 9G-TRONIC.

Sistem suspensi ACTIVE RIDE CONTROL, stereng gandar belakang dan differential belakang elektronik membantu meningkatkan kestabilan serta ketangkasan pemanduan.

Spesifikasi Ringkas Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series

  • Enjin: V8 Biturbo 4.0 liter
  • Kapasiti enjin: 3,982cc
  • Kuasa maksimum: 430kW (585hp)
  • Tork maksimum: 800Nm
  • Transmisi: Automatik 9G-TRONIC
  • Pacuan: Semua roda (4MATIC+)
  • Pecutan 0-100 km/j: 4.1 saat
  • Kelajuan maksimum: 260 km/j

Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, model ini dilengkapi pelbagai teknologi moden termasuk Driving Assistance Package, Memory Parking Assist, MAGIC VISION CONTROL dan sistem perlindungan GUARD 360° Vehicle Protection Plus.

Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series ditawarkan pada harga anggaran bermula RM2.25 juta atas jalan tanpa insurans bagi pasaran Semenanjung Malaysia.

GALERI:

Google ads
Back to top button