
BYD ATTO 3 PREMIUM RWD – INI PERSAINGAN SIHAT!!
BYD Atto 3 boleh dikatakan antara model yang membantu memperkenalkan jenama BYD dalam pasaran Malaysia. Namun untuk versi terbaharu ini, BYD bukan sekadar melakukan perubahan kosmetik kecil, sebaliknya membawa beberapa perubahan yang cukup besar terhadap Atto 3, khususnya pada bahagian sistem pacuan, platform elektrik, bateri serta karakter pemanduannya.
Namun perubahan paling ketara ialah Atto 3 Premium kini meninggalkan sistem pacuan roda hadapan dan beralih kepada pacuan roda belakang, selain menerima sistem elektrik 800V dan bateri yang lebih besar dan dijenamakan sebagai varian Ultra. Persoalannya, adakah segala peningkatan ini menjadikan Atto 3 sebuah SUV elektrik yang lebih baik secara keseluruhan?
Dari sudut penampilan, BYD mengekalkan identiti asas Atto 3 tetapi diberikan beberapa perubahan yang menjadikan model ini kelihatan lebih matang dan sporty. Di bahagian hadapan, bampar baharu menampilkan reka bentuk yang lebih agresif dengan elemen air curtain, manakala keseluruhan muka hadapan kini mempunyai pendekatan reka bentuk yang lebih selari dengan model-model BYD yang lebih baharu, khususnya keluarga Sealion.

Ini menjadikan Atto 3 kelihatan lebih seragam dengan bahasa reka bentuk BYD generasi terkini, berbanding model terdahulu yang mempunyai identiti tersendiri. Perubahan pada bahagian sisi pula lebih mudah dilihat apabila Atto 3 baharu diletakkan bersebelahan dengan model lama.
Tiang D kini menggunakan reka bentuk baharu, manakala tingkap suku belakang atau rear quarter window turut direka semula. Salah satu elemen yang agak sinonim dengan Atto 3 lama, iaitu corak “sisik naga” pada bahagian tiang C dan D kini dibuang untuk menghasilkan penampilan yang lebih bersih. BYD juga sudah membuang tulisan “BYD Design” pada fender hadapan.
Bagi varian Premium, model ini menggunakan rim aloi 18 inci dengan rekaan turbin eksklusif. Satu lagi perubahan penting ialah kedudukan port pengecasan yang kini dipindahkan ke bahagian belakang kanan. Perubahan ini mungkin nampak kecil dari luar, tetapi ia menunjukkan bahawa struktur keseluruhan Atto 3 telah mengalami perubahan yang lebih menyeluruh berbanding sekadar facelift biasa.

Di bahagian belakang pula, Atto 3 menerima lampu belakang baharu dengan grafik berbentuk segi tiga yang menggunakan konsep “infinite wave”. Spoiler belakang juga direka semula dan lampu brek ketiga kini dengan rekaan dua jalur menegak. Bampar belakang turut mendapat reka bentuk baharu yang kelihatan lebih sporty dan memberikan rupa yang lebih kemas berbanding model sebelumnya.
Kalau ada satu perkara yang paling jelas berubah pada bahagian dalaman ialah perubahan reka bentuk. Atto 3 generasi terdahulu terkenal dengan tema dalaman yang agak unik, termasuk elemen seperti “tema otot” pada papan pemuka dan reka bentuk pemegang pintu yang menyerupai dumbbell. Untuk model baharu ini, BYD telah mengambil pendekatan yang lebih minimalis.
Reka bentuk dashboard kini lebih ringkas dengan elemen yang lebih bersih, manakala panel pintu tidak lagi menggunakan rekaan dumbbell yang menjadi identiti model lama. Bagi saya, perubahan ini menjadikan kabin Atto 3 lebih mudah diterima kerana ia tidak lagi terlalu cuba untuk kelihatan unik. Pada masa sama, elemen “tali gitar” pada poket pintu masih dikekalkan, cuma kali ini ia diberikan kemasan hitam.

Satu lagi perubahan yang cukup ketara ialah skrin meter digital di hadapan pemandu yang kini meningkat daripada 5 inci kepada 8.8 inci. Stereng juga menggunakan reka bentuk baharu yang diambil daripada Atto 2 dan kelihatan lebih konvensional. Paling menarik ialah tuil gear yang kini dipindahkan ke belakang stereng dalam bentuk column shifter. Ini bermakna reka bentuk tuil gear jenis “aeroplane” pada model lama sudah tiada, dan ruang konsol tengah juga menjadi lebih luas dan praktikal
Terdapat dua ruang untuk meletakkan telefon pintar dan kedua-duanya menyokong pengecasan tanpa wayar sehingga 50W bersama fungsi penyejukan. Dari perspektif penggunaan harian, perubahan ini lebih bermakna berbanding sekadar perubahan kosmetik kerana ruang yang sebelum ini digunakan untuk reka bentuk tuil gear dan elemen dekorasi kini boleh dimanfaatkan dengan lebih baik.
Dari segi kelengkapan, banyak ciri yang sudah ada pada Atto 3 masih dikekalkan. Sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar masih tersedia, begitu juga kamera 360 darjah yang membantu ketika meletakkan kenderaan di ruang sempit. Tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi pengudaraan juga masih ditawarkan, selain bumbung panoramik yang menjadi antara ciri menarik pada model ini.

Bagaimanapun, terdapat juga beberapa perkara yang sebenarnya mengalami pengurangan. Model Malaysia ini tidak lagi dilengkapi dashcam terbina dalam seperti yang terdapat pada model terdahulu. Skrin infotainmen pula tidak lagi menggunakan mekanisme boleh berpusing seperti Atto 3 lama.
Kalau perubahan luaran dan dalaman masih boleh dianggap sebagai evolusi biasa, bahagian paling penting pada Atto 3 baharu sebenarnya berlaku di bawah kulit. Model ini tidak lagi menggunakan pacuan roda hadapan seperti sebelumnya, sebaliknya varian Ultra kini menggunakan pacuan roda belakang.
Motor elektrik baharu itu menghasilkan sehingga 313 PS dan 380 Nm, membolehkan Atto 3 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 5.5 saat. Sebagai perbandingan, model terdahulu mengambil sekitar 7.5 saat untuk melakukan pecutan yang sama. Kelajuan maksimum juga meningkat daripada 160 km/j kepada 180 km/j.

Perubahan ini bukan sekadar memberikan angka prestasi yang lebih baik malah Atto 3 baharu turut menggunakan platform elektrik 800V dan bateri Blade berkapasiti lebih besar iaitu 74.88 kWh. Dengan kapasiti tersebut, jarak pemanduan yang diiklankan mencapai sehingga 510 km mengikut WLTP atau 600 km mengikut NEDC.
Sistem pengecasan juga menerima peningkatan besar yang kini menyokong sehingga 220 kW, berbanding sekitar 88 kW pada model sebelumnya, manakala pengecasan AC meningkat daripada 7 kW kepada 11 kW. Jadi dari perspektif teknologi EV, Atto 3 baharu memang mengalami peningkatan yang ketara dan bukan sekadar facelift kosmetik.
Di atas jalan, perubahan daripada pacuan roda hadapan kepada pacuan roda belakang merupakan perkara yang paling mudah dirasai. Dengan kuasa 313 PS dan tork 380 Nm, Atto 3 Premium memang terasa jauh lebih bertenaga berbanding model lama. Pecutannya pantas dan karakter pacuan roda belakang memberikan rasa pemanduan yang berbeza, terutama apabila keluar dari selekoh atau ketika melakukan pecutan.

Dari segi mod pemanduan, terdapat pilihan Sport, Eco, Normal dan Snow. Namun untuk penggunaan harian, penulis lebih banyak menggunakan mod Normal yang memberikan keseimbangan antara prestasi dan penggunaan tenaga. Dalam ujian yang dilakukan, penggunaan tenaga adalah sekitar 5.5 km/kWh pada kelajuan 120 km/j, manakala penggunaan di kawasan bandar boleh mencapai sekitar 6.7 km/kWh.
Dengan penggunaan tersebut, jarak sebenar sekitar 410 km di lebuh raya masih boleh dicapai, bergantung kepada keadaan trafik, kelajuan, cuaca dan gaya pemanduan.Satu perkara yang saya lebih suka pada model baharu ini ialah rasa stereng. Dengan sistem pacuan roda belakang, tayar hadapan tidak lagi bertanggungjawab untuk memacu kenderaan.
Ini memberikan lebih kebebasan kepada roda hadapan untuk menjalankan tugas sebagai komponen stereng, dan hasilnya rasa stereng Atto 3 baharu sedikit lebih berat serta lebih natural berbanding model terdahulu. Bagi saya, perubahan ini menjadikan Atto 3 lebih sedap dipandu dan memberikan rasa kawalan yang lebih baik.

Namun bahagian suspension merupakan aspek yang bagi saya mempunyai dua sisi. Atto 3 baharu terasa lebih keras berbanding model terdahulu, dan walaupun tetapan ini membantu memberikan rasa badan kereta yang lebih terkawal, ia juga membawa kompromi dari segi keselesaan.
Apabila dipandu di jalan yang baik, tetapan suspension yang lebih keras itu memberikan rasa lebih kemas dan mengurangkan pergerakan badan. Tetapi apabila masuk ke jalan kampung atau permukaan yang tidak rata, Atto 3 boleh terasa agak melantun dan kurang selesa. Ini lebih ketara apabila melalui permukaan jalan yang mempunyai bonggol kecil atau sambungan jalan yang tidak rata.
Tempat duduknya juga dirasakan agak keras. Jadi apabila digabungkan dengan suspension yang lebih keras, perjalanan jauh tidak memberikan rasa santai seperti yang saya harapkan daripada sebuah SUV keluarga. Penulis juga sudah cuba mengurangkan tekanan tayar sekitar 20 kPa, tetapi kesannya terhadap keselesaan masih tidak begitu ketara.

Tekanan tayar sebenar yang digunakan adalah sekitar 270 kPa yang direka untuk penjimatan tenaga. Bagi penulis, ini merupakan salah satu kompromi terbesar Atto 3 baharu. BYD berjaya meningkatkan prestasi dan pengendalian tetapi dalam proses itu, tahap keselesaan turut sedikit terjejas.
Untuk sistem brek, Atto 3 memberikan prestasi yang baik dan mudah dikawal. Sistem brek regeneratif menawarkan dua tahap tetapan yang boleh dipilih, iaitu High dan Low. Dari segi pedal pula, modulasi brek terasa baik dan tidak terlalu sukar untuk mendapatkan tekanan brek yang tepat, sesuatu yang penting terutama bagi kenderaan elektrik yang menggabungkan regenerative braking dengan brek mekanikal.
Dari aspek NVH pula, Atto 3 baharu terasa sedikit lebih baik berbanding model 2022 yang pernah saya pandu. Perbezaannya bukanlah terlalu besar, tetapi secara keseluruhan kabin terasa lebih senyap. Namun pengalaman ini juga banyak bergantung kepada jenis tayar yang digunakan. Model terdahulu yang menggunakan tayar Atlas Batman memang memberikan karakter bunyi dan keselesaan yang berbeza.

Secara keseluruhannya, BYD Atto 3 baharu bukan sekadar facelift biasa kerana perubahan yang dibuat melibatkan hampir keseluruhan pengalaman menggunakan kereta ini. Reka bentuk luaran menjadi lebih matang, kabin pula lebih minimalis dan praktikal, sementara sistem pacuan roda belakang, motor 313 PS, bateri 74.88 kWh dan platform 800V menjadikan Atto 3 jauh lebih bertenaga serta lebih kompetitif sebagai sebuah EV moden.
Penulis paling suka perubahan pada sistem pacuan kerana rasa stereng kini lebih natural dan tidak lagi terlalu ringan seperti model lama. Prestasi juga memang satu lonjakan besar, dengan angka 0-100 km/j dalam 5.5 saat menjadikan Atto 3 Premium sebuah SUV yang sangat pantas untuk kegunaan harian.
Tetapi pada masa yang sama, peningkatan prestasi itu datang bersama kompromi pada keselesaan. Suspension yang lebih keras dan tempat duduk yang agak keras menjadikan Atto 3 baharu kurang santai apabila melalui jalan yang kasar atau tidak rata. Jadi, kalau anda mahukan Atto 3 yang lebih pantas, lebih berkuasa dan mempunyai teknologi EV yang jauh lebih moden, model baharu ini memang merupakan peningkatan besar.

Pendek kata, BYD telah menjadikan Atto 3 sebuah kereta yang lebih matang, lebih berkuasa dan lebih menyeronokkan untuk dipandu. Cuma untuk mendapatkan semua kelebihan tersebut, kita perlu menerima hakikat bahawa karakter Atto 3 baharu kini sedikit lebih keras dan kurang santai berbanding sebelumnya.







