
JETOUR T2 DARK WARRIOR EDISI TERHAD DIPERKENALKAN – 69 UNIT SAHAJA, HARGA MULA RM167K
JETOUR Malaysia memperkenalkan T2 Dark Warrior Edisi Terhad sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, dengan pengeluaran terhad kepada hanya 69 unit untuk pasaran tempatan.
Model khas ini direka bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan sebuah SUV berkarakter lebih garang dan eksklusif tanpa mengorbankan keupayaan asal JETOUR T2.
Menariknya, JETOUR T2 Dark Warrior Edisi Terhad ditawarkan pada harga jualan bersih RM156,800, sama seperti model standard.
Namun, setiap unit diwajibkan hadir bersama pakej aksesori Dark Warrior bernilai RM10,800, menjadikan harga keseluruhan RM167,600 tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

Dari segi penampilan, model ini menampilkan kemasan badan hitam matte eksklusif yang menyerlahkan imej lasak dan premium.
Beberapa sentuhan khas turut diberikan termasuk rel bumbung berwarna hitam, logo JETOUR dan emblem T2 berkemasan gelap di bahagian belakang serta angkup brek merah yang memberikan kontras menarik pada keseluruhan reka bentuk.
Bagi melengkapkan identiti Dark Warrior, SUV ini dilengkapi pakej aksesori rasmi yang merangkumi guard rail, gril khas, tangga sisi modular, rak bumbung Warrior, emblem Stealth dan plat gantung sisi.
Walaupun menerima perubahan dari aspek kosmetik, spesifikasi mekanikalnya kekal sama. JETOUR T2 dikuasakan enjin 2.0 liter turbo pancitan terus yang menghasilkan 180kW dan 375Nm tork.

Kuasa disalurkan menerusi transmisi klac berkembar tujuh kelajuan bersama sistem pacuan pintar XWD yang menawarkan konfigurasi 7+X mod pemanduan untuk pelbagai keadaan jalan.
Ruang kabin pula direka untuk memberikan keselesaan dan tahap ketersambungan yang tinggi, selain dilengkapi pelbagai ciri keselamatan moden.
Antaranya termasuk Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) Tahap 2, enam beg udara SRS serta Sistem Pemantauan Pandangan Panorama. Model ini juga telah menerima penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP.
Setiap pembelian turut disertakan lima servis penyelenggaraan percuma, waranti kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000 kilometer serta waranti rangkaian kuasa sehingga 10 tahun atau satu juta kilometer, mengikut mana yang terdahulu.
Pakej aksesori Dark Warrior pula dilindungi waranti selama tiga tahun atau 100,000 kilometer.
Dengan gabungan kemasan hitam matte eksklusif dan aksesori khas yang meningkatkan imej pengembaraan, JETOUR T2 Dark Warrior Edisi Terhad tampil sebagai pilihan unik bagi mereka yang mahukan SUV beridentiti lebih agresif tanpa menjejaskan aspek prestasi, teknologi dan kepraktisan harian.
GALERI:








