Buletin

NISSAN SERENA e-POWER RASMI DI MALAYSIA – LIMA VARIAN, HARGA BERMULA RM154K

MPV generasi keenam Serena hadir dengan nama All-New Nissan Serena e-POWER (C28), kini rasmi dilancarkan di Malaysia.

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengesahkan model pemasangan tempatan (CKD) ini ditawarkan pada harga bermula RM154,800.

Hadir dalam lima varian, perincian harga adalah seperti berikut;

  • X: RM154,800
  • X Plus: RM159,800
  • Highway Star: RM169,800
  • Premium Highway Star: RM174,800
  • Shiro Premium Highway Star: RM179,800

C28 tampil dengan bahasa rekaan terkini Nissan menerusi identiti V-Motion Shield yang lebih segar, unit lampu utama kini disepadukan ke dalam bampar hadapan.

Menariknya, bahagian hadapan bukan sekadar kosmetik. Dua saluran udara tersembunyi pada bampar direka untuk mengawal aliran angin, sekali gus membantu kestabilan kenderaan dan mengurangkan olengan badan.

Di belakang, pintu but dua lapis kekal dikekalkan. Grafik lampu belakang menerima sentuhan baharu bersama tulisan “SERENA” dan lencana “e-POWER”.

Kelengkapan luaran standard:

  • Gril V-Motion sporty dengan bampar aerodinamik depan dan belakang
  • Lampu utama LED projektor tiga elemen dengan auto levelling & DRL
  • Lampu kabus LED depan dan belakang
  • Lampu belakang LED rekaan boomerang
  • Cermin sisi laras elektrik dengan lampu isyarat LED dan fungsi lipat automatik
  • Cermin hadapan akustik
  • Pintu gelangsar berkembar kuasa dengan fungsi bebas tangan
  • Rim aloi 16-inci
  • Pintu belakang dwi-bukaan (dual back door)

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu; Diamond Black (monoton), serta Turquoise Blue, Brilliant White dan Dark Metal Grey dengan bumbung hitam kontras.

Serena e-Power disusun dalam konfigurasi 2+2+3. Tempat duduk barisan pertama dan kedua menggunakan rekaan Zero Gravity yang memberi sokongan postur lebih baik bagi mengurangkan keletihan ketika perjalanan jauh.

Akses ke barisan ketiga dipermudah dengan fungsi gelongsor sisi atau mod easy access pada kerusi tengah.

Penumpang belakang juga boleh membuka pintu gelangsar sendiri melalui suis khas, tidak lagi bergantung kepada penumpang barisan kedua. Tambahan, terdapat tuil kaki di belakang kerusi tengah bagi membolehkan pelarasan dilakukan dari barisan ketiga.

Untuk praktikaliti, sebanyak 26 ruang simpanan disediakan di seluruh kabin, dan konfigurasi tempat duduk boleh diubah kepada 13 susunan berbeza. Nissan turut menyelitkan tujuh ‘easter egg’ tersembunyi dalam kabin sebagai elemen unik untuk pemilik menerokainya.

Di bahagian dalam, model ini hadir dengan upholsteri kombinasi kulit Nappa berwarna hitam yang menyerlahkan suasana premium dan kemas.

Ia turut dilengkapi paparan meter digital TFT bersaiz 12.3-inci, selain skrin infotainmen 12.3-inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto tanpa wayar untuk sambungan pintar yang lebih mudah.

Bagi penumpang belakang, tersedia skrin hiburan bumbung bersaiz 14-inci yang sesuai untuk perjalanan jauh. Kemudahan lain termasuk brek parkir elektronik dengan fungsi auto-hold, stereng pelbagai fungsi untuk kawalan lebih praktikal, serta meja lipat khas untuk penumpang barisan kedua.

Model ini juga menawarkan enam port USB untuk pengecasan peranti, pad pengecas tanpa wayar, serta tiga mod pemanduan iaitu Standard, Eco dan Sport bagi menyesuaikan gaya pemanduan.

Melengkapkan pengalaman pemanduan elektrik, ia turut didatangkan dengan fungsi e-Pedal Step yang membolehkan pemanduan satu pedal dengan lebih lancar dan intuitif.

Beralih pada kuasa pula, Serena ini menggunakan sistem hibrid siri e-Power generasi kedua. Enjin 1.4 liter tiga silinder, menghasilkan 98hp, 123Nm berperanan sebagai penjana elektrik semata-mata. Kuasa sebenar ke roda hadapan disalurkan oleh motor elektrik yang menghasilkan 163hp dan 315Nm.

Bateri 1.77kWh membekalkan tenaga kepada motor tarikan tersebut. Penggunaan bahan api didakwa sekitar 18.5 km/L (NEDC), dengan jarak pemanduan mencecah sehingga 1,000km bagi satu tangki penuh.

Serena e-Power dilengkapi pakej bantuan pemandu ProPilot yang merangkumi:

  • Autonomous Emergency Braking (AEB)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Blind Spot Monitor (BSM)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • High Beam Assist (HBA)
  • Paparan 360 darjah dengan Moving Object Detection
  • Intelligent Cruise Control
  • Intelligent Lane Intervention

Setiap pembelian disertakan jaminan kenderaan lima tahun atau 100,000 km, manakala komponen sistem e-Power termasuk bateri litium-ion dilindungi selama lapan tahun atau 160,000 km.

Sempena pelancaran, terdapat tawaran menanti iaitu rebat sebanyak RM5,000 berserta pakej aksesori (tidak termasuk varian X) RM8,000.

GALERI:

Google ads
Back to top button