
GWM SIAR VIDEO TEASER SUV LASAK, TANK 700 HI4-Z BAKAL TIBA?
Pengerusi Great Wall Motor (GWM), Wei Jianjun, mencetuskan perhatian apabila memuat naik video acah sebuah SUV mewah yang masih diselubungi kain, digelar sebagai “flagship” baharu jenama itu.
Model berkenaan turut dikaitkan dengan elemen budaya Kirin serta teknologi hibrid Hi4-Z milik GWM.
Walaupun nama rasmi belum diumumkan, bentuk badan kelihatan jelas menyerupai Tank 700 Hi4-Z, varian plug-in hybrid yang baru difailkan untuk kelulusan pihak berkuasa China.
Siluet berkotak, jarak kelegaan tinggi serta binaan ladder-frame mengesahkan ia kekal sebagai SUV lasak berasaskan casis badan atas rangka (body-on-frame).

Imej teaser turut memperlihatkan unit LiDAR di bumbung, sepadan dengan sistem bantuan pemandu termaju GWM.
Dari segi kuasa, dokumen homologasi menyatakan ia menggunakan enjin 2.0 liter turbo 185kW digandingkan dua motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan mencecah 715kW. Sistem pacuan empat roda pula menggunakan gandar elektrik belakang beroutput tinggi tanpa aci pemacu konvensional.
Bateri lithium ternary (NCM) berkapasiti 59.05kWh dibekalkan SVOLT, menawarkan jarak elektrik sehingga 190km (CLTC).
Pengecasan pantas DC menyokong sehingga 163kW, membolehkan tahap bateri 30 hingga 80 peratus dicapai dalam kira-kira 15 minit.
Penggunaan bahan api rasmi direkodkan 8.45 liter/100km. Dari segi saiz, panjangnya 5,105mm dengan jarak roda 3,000mm, meletakkannya di atas varian Hi4-T sedia ada.
Dalam segmen SUV tenaga baharu premium, antara pesaing utama ialah Aito M9, yang mencatat lebih 31,000 pendaftaran runcit pada Januari 2026 dengan bateri 52kWh dan kuasa sistem 365kW.
Dalam perkembangan berkaitan, GWM turut memfailkan model Wey V9X. SUV enam tempat duduk ini berukuran 5,299mm panjang dan jarak roda 3,150mm, dengan pilihan bateri 53.6kWh (240km CLTC) atau 77.7kWh (363km CLTC).
Varian kapasiti lebih besar mencatat penggunaan bahan api serendah 6.20 liter/100km serta mampu menunda sehingga 2,000kg.
Dengan video acah sudah disiarkan dan kelulusan regulatori hampir selesai, pelancaran rasmi Tank 700 Hi4-Z dijangka berlangsung dalam masa terdekat, sekali gus memperkukuh kedudukan GWM dalam segmen SUV mewah elektrifikasi.







