Buletin

PERLIS, KELANTAN & TERENGGANU DIJANGKA BERALIH KE FASA 2 PPN MINGGU DEPAN

Perlis, Kelantan dan Terengganu menjadi antara beberapa negeri yang dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu depan.

Keputusan untuk menamatkan ‘total lockdown’ itu  dibuat oleh pentadbiran Putrajaya berpandukan nilai ambang di negeri-negeri tersebut yang telah berjaya dilandaikan hasil Pelan Pemulihan Negara.

Berdasarkan kepada maklumat yang diterima oleh Astro AWANI, perincian mengenai peralihan di negeri-negeri tersebut sudah dibentangkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa hari lalu.

“Langkah ini bagi mengelak negeri-negeri yang menunjukkan perkembangan positif fasa pemulihan tetapi terhalang daripada beralih ke fasa berikutnya kerana kes-kes COVID-19 yang masih tinggi di negeri Selangor.

“Langkah ini selaras dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara yang lebih fokus dan bukan pendekatan one-size-fits-all,” kata sumber itu .  

Berdasarkan kerangka PPN di peringkat pusat, fasa pertama kawalan pergerakan dilanjutkan kerana kes COVID-19 belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 selama tujuh hari sebelum beralih ke fasa seterusnya.

Tambah sumber itu lagi, langkah lebih khusus ini akan membolehkan negeri-negeri mencapai nilai ambang peralihan fasa sekali gus melonggarkan sekatan pergerakan dan aktiviti ekonomi.

Kerajaan juga dijangka mengambil langkah khusus untuk memperketat kawalan pergerakan di negeri Selangor. – Astro AWANI

Google ads
Back to top button