Buletin

LELAKI GELANDANGAN MENTAL BAKAR 7 KENDERAAN DITAHAN POLIS

Seorang lelaki gelandangan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran beberapa buah kenderaan di Sentul di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kebakaran melibatkan sebuah lori di Jalan Ambong 1, Kepong Baru pada jam 11 malam, Isnin.

Pada jam 12.10 malam, satu lagi laporan kebakaran kenderaan diterima yang juga melibatkan sebuah lori di Jalan Mergastua, Kepong Baru.

“Kedua-dua kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh anggota bomba dan masing-masing melibatkan kerugian sebanyak RM10,000 dan RM120,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Rabu.

Eng Lai berkata, kebakaran kedua mengakibatkan kerugian yang besar kerana di dalam lori tersebut terdapat barangan elektrik seperti lapan mesin basuh dan dua peti sejuk yang akan dihantar kepada pelanggan keesokan harinya.

Hasil risikan, polis berjaya menangkap seorang lelaki dianggarkan berusia 40-an kira-kira jam 3 pagi, Selasa di Jalan Besar Kepong.

Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri didakwa mempunyai masalah mental. Dia nyata menepati ciri-ciri individu seperti yang dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah basikal, dua botol arak masakan, pemetik api serta 10 bungkus penyedut minuman yang dipercayai dijadikan sumbu dalam kes kebakaran tersebut.

Semakan mendapati suspek terlibat dalam kebakaran tiga buah lori dan empat buah kereta sejak 15 Jun lalu. Pemilihan kenderaan berkenaan dibuat secara rawak serta tiada motif.

Justeru, suspek direman tujuh hari sehingga 5 Julai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. Lelaki itu akan dibawa ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk diambil cap jari bagi menyemak identiti sebenarnya. Eng Lai memaklumkan dengan penahanan suspek, pihaknya percaya telah berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh kes kebakaran kenderaan yang berlaku dalam tempoh dua minggu. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button