
PERMINTAAN BEV MENINGKAT, TIV OKTOBER CAPAI 75,992 UNIT
Lonjakan pembelian kenderaan elektrik bateri (BEV) diimport (CBU) menjelang penamatan pengecualian cukai pada akhir tahun menjadi antara pemangkin utama kepada kenaikan mendadak jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Oktober, yang melonjak 30 peratus kepada 75,992 unit berbanding 58,490 unit pada September.
Jumlah jualan bulan lalu itu juga merekodkan pendaftaran bulanan tertinggi setakat 2025, sekali gus mengatasi pencapaian 71,022 unit yang direkodkan pada bulan sama tahun lalu.
Data yang dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan permintaan pengguna kekal kukuh menuju ke akhir tahun, dipacu oleh insentif BEV yang bakal tamat serta sentimen pembelian positif.
Dalam satu kenyataan, MAA berkata, desakan untuk membeli model CBU BEV selepas pengumuman Belanjawan 2026 menjadi faktor utama peningkatan drastik dalam TIV.
“Lonjakan ini jelas menunjukkan pengguna tidak mahu melepaskan peluang sebelum insentif berakhir,” katanya.
MAA turut melaporkan, jumlah TIV dari Januari hingga Oktober berada pada paras 655,328 unit, iaitu hanya kurang dua peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Penurunan kecil itu dianggap masih stabil memandangkan perubahan dasar cukai EV serta suasana pasaran yang lebih berhati-hati sepanjang tahun.
Jumlah jualan 10 bulan tahun ini kurang 124,672 unit berbanding jangkaan setahun penuh MAA iaitu 780,000 unit.
Justeru, untuk tempoh dua bulan terakhir, industri automotif tempatan memerlukan jualan bulanan 62,336 unit untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.
Sementara itu, MAA berkata, kempen promosi agresif hujung tahun oleh syarikat automotif turut menyokong peningkatan jualan Oktober, sekali gus mengukuhkan prestasi bulanan industri.
Segmen kenderaan penumpang merekodkan 70,321 unit pada Oktober 2025, meningkat 7.4 peratus berbanding 65,453 unit yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Segmen kenderaan komersial pula mencatatkan peningkatan dua peratus kepada 5,671 unit.
Dari segi pengeluaran, industri merekodkan 65,226 unit pada Oktober, iaitu penurunan sembilan peratus berbanding 71,878 unit pada Oktober 2024, namun kekal selari dengan permintaan pasaran semasa.
“Prestasi setakat tahun ini mungkin sedikit perlahan, namun momentum Oktober memberi petunjuk bahawa pasaran semakin pulih.
“Momentum jualan semasa dijangka berterusan pada November 2025,” katanya.
Secara lazimnya, prestasi suku keempat dijangka kekal kukuh berikutan tingkah laku pembelian pengguna yang meningkat pada penghujung tahun, terutama dalam persekitaran yang disokong insentif cukai dan promosi jualan yang agresif. – Berita Harian
- BACA: TUHU KINI DI MALAYSIA: SIHAT UNTUK PENGGUNA, BENGKEL TEMPATAN RISAU!
- BACA: TERKINI: MFORCE DEDAH PROTOTAIP ARIIC 400 GS DI CHINA, SAH MASUK MALAYSIA
- BACA: GAC AION PERKENAL UT SUPER – EV PERTAMA DENGAN SISTEM BATERI TUKAR SEGERA
- BACA: SUZUKI CATAT JUALAN 30 JUTA UNIT DI INDIA, ALTO PALING LARIS, SWIFT KE-3!








