Buletin

JUALAN KENDERAAN DI MALAYSIA MENINGKAT. CATAT 44,275 UNIT PADA SEPTEMBER

Jualan kenderaan terus melonjak ketara kepada 44,275 unit pada September, berbanding 17,500 unit yang dijual pada bulan sebelumnya.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) adalah 153 peratus lebih tinggi pada September berbanding Ogos.

“Lonjakan jualan pada bulan dikaji disokong operasi semula perniagaan di seluruh negara berikutan pelonggaran sekatan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

MAA menjelaskan, kekurangan cip komputer bagaimanapun menjejaskan jualan beberapa pengeluar pada bulan dikaji.

“Beberapa pengeluar juga berdepan dengan pembatalan tempahan disebabkan sentimen pengguna yang rendah,” katanya.

Pada September, industri automotif negara mencatatkan jualan 44,275 unit kenderaan, tujuh peratus lebih rendah berbanding 57,758 unit yang dijual pada bulan sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, kenderaan penumpang mewakili jualan sebanyak 38,315 unit, manakala bakinya 5,960 unit membabitkan kenderaan komersial.

Setakat September tahun ini, industri automotif tempatan menjual 318,874 unit kenderaan, lebih rendah berbanding 344,019 unit yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Bagi aspek pengeluaran pula, MAA berkata sejumlah 45,972 unit kenderaan dihasilkan pada September mewakili 42,556 unit kenderaan penumpang dan selebihnya 3,416 unit adalah kenderaan komersial.

Dalam tempoh Januari hingga September 2021, sejumlah 303,996 unit kenderaan dikeluarkan, lebih rendah berbanding 315,863 unit yang dihasilkan tempoh sama tahun lalu.

Mengenai unjuran Oktober, MAA menjelaskan, jualan pada bulan ini dijangka lebih baik berbanding September disokong perniagaan yang kembali beroperasi di seluruh negara.

“Pengeluar kenderaan juga meningkatkan pengeluaran dan penghantaran kenderaan pada bulan ini,” katanya. – BH

Google ads
Back to top button