Buletin

PETRONAS BANTU BANGUNKAN SEMULA LITAR PASIR GUDANG – JDT RACING TEAM

Syarikat gergasi, Petronas akan membantu membangunkan semula Litar Pasir Gudang kesan dari penajaan menyeluruh pasukan JDT Racing Team. 

Bercakap kepada Flash Sukan, Prinsipal Pasukan JDT Racing Team, Steven Tan berkata Petronas meluahkan minat menjalinkan kerjasama dengan pasukan itu kerana impak yang dibawa pemilik pasukan, Pemangku Sultan Johot, DYAM Tunku Mahkota Ismail. 

“Memang benar saya sudah membawa Petronas untuk menghadap Pemangku Sultan Johor dan semuanya baik serta pihak kami sedang dalam proses melengkapkan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada ahli lembaga pengarah mereka.

“Mereka berminat untuk menaja dan menjalin kerjasama dengan JDT Racing Team dan mereka juga kini sedar nilai pasukan ini terutama selepas melihat penglibatan Tunku Ismail secara langsung dalam projek ini yang boleh saya gambarkan sebagai impak jenama Tunku dan JDT itu sendiri,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Steven turut mendedahkan bahawa kerjasama Petronas-JDT Racing Team tidak akan terhad kepada perlumbaan di litar sahaja malah akan turut terlibat membangunkan semula Litar Pasir Gudang yang telah ditutup sejak 2016.

Ini kerana pembangunan litar di Johor itu bakal menjadi hab sukan permotoran penting bagi pasukan JDT Racing Team dalam mencari  bakat baru. 

“Kerjasama ini turut akan melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang dan juga akademi permotoran JDT sekali gus bakal melihat Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mencipta sejarah kali ini dalam sukan permotoran dua roda pula,” tambah Steven. 

Untuk rekod, Litar Pasir Gudang merupakan antara litar yang ikonik kerana pernah menjadi tuan rumah kepada Kejuaraan Dunia MotoGP pada 1998. Litar yang dibina pada 1986 itu telah ditutup sejak sembilan tahun lalu pada 2016 bagi tujuan pengubahsuaian.

*sumber: Flash Sukan

Google ads
Back to top button