
PORSCHE BELAJAR DENGAN HYUNDAI, TAYCAN ADA 8 GEAR PALSU
Porsche sebelum ini berpendapat bahawa kereta elektrik tidak memerlukan sistem pertukaran gear simulasi kerana motor elektrik mampu menghasilkan tork dengan serta-merta tanpa memerlukan kotak gear berbilang nisbah seperti kereta berenjin pembakaran dalaman. Namun Porsche akhirnya mengubah pendirian dengan memperkenalkan teknologi E-Shift pada Porsche Taycan model tahun 2027.
Sistem tersebut membolehkan pemandu merasai pengalaman menukar gear seperti memandu kereta sport konvensional, walaupun Taycan masih digerakkan oleh motor elektrik. Ia turut dilengkapi pedal penukar gear di belakang stereng, paparan takometer digital dan bunyi yang disesuaikan untuk meniru pengalaman memandu kereta berprestasi tinggi.
Perubahan pendirian Porsche ini menunjukkan bahawa pengalaman pemanduan kini menjadi antara perkara penting yang perlu dipertimbangkan dalam pembangunan kereta elektrik berprestasi tinggi. Walaupun motor elektrik menawarkan pecutan pantas dan penghantaran kuasa yang lancar, sebahagian peminat masih mahukan sensasi mekanikal yang sinonim dengan kereta sport tradisional.

Sebelum ini Porsche tidak melihat keperluan untuk memperkenalkan sistem pertukaran gear palsu pada kereta elektriknya. Dari sudut kejuruteraan, motor elektrik tidak memerlukan pertukaran gear berulang seperti enjin petrol untuk mengekalkan kuasa dalam julat putaran tertentu.
Kotak gear konvensional diperlukan untuk membolehkan enjin beroperasi dalam julat putaran yang sesuai mengikut kelajuan kenderaan. Motor elektrik mempunyai julat operasi yang lebih luas dan mampu menghasilkan tork tinggi sejak kelajuan rendah. Jadi meniru pertukaran gear dalam sebuah EV boleh dianggap sebagai langkah yang tidak memberikan kelebihan prestasi sebenar.
Tetapi kemunculan Hyundai Ioniq 5 N mengubah perbincangan tersebut dimana Sistem N e-Shift yang diperkenalkan Hyundai berjaya menunjukkan bahawa simulasi pertukaran gear boleh menjadikan pengalaman memandu EV lebih menarik, khususnya bagi mereka yang gemarkan pemanduan sporty.
Porsche sendiri kemudiannya mengakui bahawa Hyundai telah melakukan kerja yang sangat baik dalam menghasilkan sistem tersebut. Pada Porsche Taycan 2027, E-Shift menawarkan lapan gear maya yang boleh dikawal menggunakan pedal penukar gear di belakang stereng. Apabila sistem diaktifkan, paparan pemandu berubah untuk menunjukkan takometer digital dengan had putaran simulasi, manakala bunyi elektronik disesuaikan mengikut mod pemanduan.

Dalam mod automatik, sistem akan menukar gear maya berdasarkan input pemandu dan keadaan pemanduan. Pemandu yang mahukan lebih kawalan boleh memilih mod manual untuk melakukan pertukaran gear sendiri. Sistem ini turut meniru tingkah laku enjin apabila mencapai had putaran. Jika pemandu enggan menaikkan gear, simulasi boleh menghasilkan tindak balas seperti enjin yang mencecah rev limiter.
Ketika menurunkan gear, sistem turut mengubah tindak balas kenderaan bagi menghasilkan sensasi nyahpecutan yang menyerupai kereta berenjin pembakaran dalaman. Bagaimanapun, semua perubahan tersebut dikawal oleh perisian dan bukannya berlaku melalui pertukaran lapan nisbah gear mekanikal. Taycan masih menggunakan sistem pacuan elektriknya, sementara E-Shift bertindak sebagai lapisan simulasi untuk meningkatkan penglibatan pemandu.
Salah satu aspek menarik E-Shift ialah cara Porsche menggabungkan bunyi, paparan dan tindak balas kenderaan bagi menghasilkan pengalaman yang lebih meyakinkan. Sistem ini bukan sekadar memainkan bunyi enjin melalui pembesar suara, sebaliknya menyelaraskan beberapa elemen supaya pertukaran gear maya terasa lebih semula jadi.

Porsche turut menggunakan perubahan tindak balas tork bagi memberikan sensasi ketika gear maya ditukar. Dalam keadaan tertentu, sistem boleh memberikan tindak balas kuasa sementara supaya pemandu merasakan satu perubahan ketika melakukan pertukaran gear, tanpa menjejaskan pecutan secara ketara seperti yang boleh berlaku dalam sistem simulasi tertentu.
Pendekatan ini berbeza daripada idea asas kereta elektrik yang lazimnya mengutamakan pecutan lancar tanpa gangguan. Dalam konteks ini, E-Shift sengaja menambah elemen yang tidak diperlukan untuk menggerakkan kereta, tetapi berpotensi menjadikan pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan.
Pengenalan E-Shift pada Taycan menunjukkan bahawa Porsche semakin terbuka kepada teknologi yang menggabungkan kelebihan prestasi elektrik dengan sensasi pemanduan kereta sport konvensional.

