
BIARPUN BURUK, 50K BERMINAT DENGAN JAGUAR TYPE 01
Jaguar nampaknya mula mendapat perhatian daripada kumpulan pelanggan baharu menerusi perubahan besar yang dilakukannya ke arah masa depan elektrik sepenuhnya. Pengeluar kereta mewah dari Britain itu mendakwa lebih 50,000 individu di seluruh dunia telah mendaftarkan minat terhadap hala tuju baharunya, dengan kira-kira 80 peratus daripada mereka tidak pernah memiliki kereta Jaguar sebelum ini.
Pengarah Urusan Jaguar, Rawdon Glover, berkongsi angka tersebut ketika bercakap mengenai maklum balas awal terhadap transformasi jenama berkenaan. Menurutnya, individu terbabit mendaftar menerusi program yang dikenali sebagai Keep Me Informed (KMI), iaitu satu inisiatif untuk membolehkan mereka menerima perkembangan terkini mengenai produk dan perancangan Jaguar.
Bagaimanapun, angka 50,000 itu tidak boleh dianggap sebagai jumlah tempahan atau jualan yang telah disahkan. Ia lebih tepat menggambarkan bilangan individu yang menunjukkan minat untuk mengetahui perkembangan jenama tersebut, dan masih belum diketahui berapa ramai daripada mereka yang akhirnya akan membeli kenderaan baharu Jaguar.

Perkara yang lebih menarik ialah kira-kira empat daripada setiap lima individu yang mendaftarkan minat itu merupakan pelanggan baharu kepada Jaguar. Situasi ini menunjukkan bahawa perubahan strategi yang kontroversi mungkin berjaya menarik perhatian golongan pembeli yang sebelum ini tidak mempertimbangkan jenama berkenaan.
Transformasi Jaguar bukan sekadar melibatkan perubahan reka bentuk atau pengenalan teknologi elektrik. Syarikat itu turut berhasrat meletakkan dirinya pada kedudukan lebih tinggi dalam pasaran kereta mewah, dengan sasaran kepada pembeli yang mementingkan eksklusiviti, reka bentuk tersendiri dan teknologi.
Pendekatan tersebut berbeza daripada kedudukan model terdahulu seperti XE dan XF yang bersaing dalam segmen sedan premium. Dengan barisan produk generasi baharu yang lebih mahal dan eksklusif, Jaguar mahu menarik pelanggan yang mempunyai kemampuan kewangan lebih tinggi dan mencari sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan.

Strategi ini bagaimanapun membawa risiko tersendiri kerana Jaguar sebelum ini telah memberi isyarat bahawa sebahagian besar pelanggan tradisionalnya mungkin tidak mengikuti perubahan tersebut, terutama apabila syarikat beralih kepada rangkaian model elektrik yang lebih mahal. Jaguar Type 0 menjadi model elektrik empat pintu yang mengetuai transformasi jenama tersebut.
Model yang menjadi tumpuan utama dalam strategi baharu ini ialah kereta grand tourer elektrik Jaguar Type 1 yang diperkenalkan dalam versi produksi di New York pada Oktober 2026. Ia merupakan sebuah grand tourer elektrik empat pintu dengan reka bentuk radikal yang berbeza daripada imej Jaguar sebelum ini.
Type 01 dibangunkan menggunakan platform Jaguar Electric Architecture (JEA) dan dilengkapi tiga motor elektrik yang menghasilkan kuasa sehingga sekitar 1,016hp serta tork 1,365Nm. Sistem pacuan semua roda digunakan untuk menyalurkan kuasa ke jalan, manakala pek bateri berkapasiti 118kWh membolehkannya mencapai jarak pemanduan sehingga 720km berdasarkan kitaran WLTP.

Jaguar turut menawarkan teknologi seperti suspensi udara, sistem stereng roda belakang dan pengecasan pantas DC sehingga 350kW. Menurut maklumat yang diumumkan, pengecasan daripada 10 hingga 80 peratus mengambil masa sekitar 22 minit dalam keadaan yang sesuai.
Dari segi harga, Type 01 dijangka bermula sekitar £130,000, meletakkannya dalam lingkungan pasaran kereta mewah yang lebih eksklusif. Tempahan global dijadualkan dibuka pada awal 2027, manakala penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula pada separuh kedua tahun yang sama.
Perubahan Jaguar bukan tanpa kritikan kerana identiti visual baharu dan reka bentuk Type 00, konsep yang mendahului Type 01, mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat automotif. Ada yang menganggap langkah tersebut terlalu jauh daripada warisan Jaguar, khususnya imej kereta sport dan sedan mewah yang sekian lama dikaitkan dengan jenama itu.

Namun Glover sebelum ini menjelaskan bahawa beliau lebih cenderung menghasilkan kereta yang benar-benar disukai oleh sesetengah pembeli berbanding model yang sekadar diterima baik oleh semua orang. Maklum balas daripada sesi penilaian pelanggan terhadap Type 01 juga dilaporkan menunjukkan jumlah penilaian tertinggi dan terendah yang lebih banyak berbanding model Jaguar terdahulu, menandakan reka bentuknya sangat memecahbelahkan pendapat.
Bagi Jaguar, pendekatan ini merupakan satu pertaruhan besar dimana jenama tersebut perlu membuktikan bahawa perhatian yang diterima mampu menghasilkan permintaan sebenar, terutama ketika persaingan dalam pasaran kereta elektrik mewah semakin sengit dan penerimaan pengguna terhadap EV berbeza mengikut pasaran.







