
GWM MALAYSIA BUKA DUA PUSAT PENGEDAR BAHARU
GWM Malaysia memperluas rangkaian pengedar menerusi pembukaan dua pusat baharu di Skudai, Johor Bahru dan Equine Park, Seri Kembangan, Selangor, sekali gus meningkatkan akses pelanggan kepada perkhidmatan jualan dan selepas jualan.
Dengan penambahan itu, rangkaian GWM Malaysia kini merangkumi lebih 40 cawangan di seluruh negara bagi menyokong jenama HAVAL, TANK, ORA dan WEY.
Sehingga akhir suku ketiga 2026, syarikat merekodkan 5,165 penghantaran kenderaan, meningkat 33 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
GWM Skudai yang dikendalikan Auto Elegance Sdn. Bhd. dirasmikan pada 8 Oktober lalu. Pusat 3S seluas kira-kira 22,006 kaki persegi itu menyediakan kemudahan jualan, servis dan alat ganti, selain mampu mengendalikan sekitar 150 kenderaan sebulan.

Antara model yang ditawarkan untuk pandu uji ialah HAVAL H6, WEY G9, TANK 300, TANK 500 dan ORA Good Cat.
Sementara itu, GWM Equine Park di bawah pengurusan Golden Admiral Motors Sdn. Bhd. dirasmikan pada 10 Oktober lalu bagi memenuhi permintaan pelanggan di Seri Kembangan, Putrajaya, Cyberjaya dan kawasan sekitar.
Kemudahan itu mempunyai keluasan binaan keseluruhan kira-kira 9,431 kaki persegi, merangkumi bilik pameran dan pusat servis yang menyokong kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid (HEV), hibrid plug-in (PHEV) serta elektrik (EV).
Model yang boleh dilihat dan dipandu uji di lokasi itu termasuk HAVAL H6 HEV, TANK 300, TANK 500 dan WEY G9.
Pengarah Urusan GWM Malaysia, Stan Li Hao berkata, peluasan rangkaian bukan sekadar menambah lokasi, malah bertujuan meningkatkan kemudahan akses pelanggan kepada produk dan perkhidmatan.
Syarikat turut memberi tumpuan kepada latihan teknikal, ketersediaan alat ganti dan peningkatan mutu selepas jualan bagi memastikan pelanggan mendapat sokongan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.







