
POS MALAYSIA LANCAR KENDERAAN TANPA PEMANDU
Pos Malaysia Bhd mencipta sejarah dalam industri logistik negara apabila melancarkan kenderaan autonomi (AV) pertama di Malaysia, sekali gus menandakan permulaan era baharu logistik pintar yang berdaya digital dan lestari.
Inisiatif ini sebahagian daripada agenda transformasi dan inovasi Pos Malaysia bagi memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju logistik moden di peringkat nasional.
Majlis pelancaran hari ini disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara Pos Malaysia dan Autonomous Logistic Solutions Sdn Bhd (ALS).
Perjanjian dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer bersama Pengarah Urusan ALS, Alan Chong.

Teras kepada inisiatif ini adalah pengenalan Zelos, kenderaan logistik autonomi tanpa pemandu sepenuhnya yang menggunakan tenaga elektrik 100 peratus dan tidak menghasilkan pelepasan karbon. Ia direka khusus untuk operasi penghantaran perniagaan ke perniagaan (B2B) berisipadu tinggi dan berulang dari titik ke titik.
ALS, sebagai rakan kongsi eksklusif di Malaysia, bertanggungjawab membawa, menyesuaikan serta mengoperasikan Zelos, sekali gus membuka akses kepada salah satu platform logistik autonomi yang paling banyak digunakan secara komersial di dunia.
Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar, berkata inisiatif kenderaan autonomi ini merupakan pencapaian penting dalam usaha mentransformasikan Pos Malaysia menjadi penyedia logistik yang moden, inovatif dan lestari.
“Teknologi seperti Zelos bukan sahaja mewakili kemajuan dari segi automasi, malah berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api, mengoptimumkan laluan penghantaran dan meminimumkan pembaziran dalam operasi harian, sejajar dengan komitmen syarikat terhadap kemampanan,” katanya.
Sementara itu, Brewer berkata pelancaran kenderaan autonomi tersebut membawa Malaysia ke era baharu logistik.
“Perintis autonomi ini adalah bukti komitmen kami terhadap inovasi, kecekapan, dan berkhidmat untuk masa depan negara.
“Kami amat berbangga memimpin perjalanan transformasi ini, dan kami bersemangat dengan potensi yang dibukanya untuk pelanggan kami dan seluruh negara. Ini adalah langkah pertama dalam perjalanan panjang dan menarik untuk Pos Malaysia,” katanya.
Inisiatif ini turut disokong oleh sambungan 5G yang disediakan oleh Digital Nasional Bhd (DNB).
Zelos ketika ini mengendalikan lebih 15,000 kenderaan autonomi di beberapa negara termasuk China, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyokong pelbagai aplikasi logistik dunia sebenar.
Pengalaman dan skala penggunaan ini menjadi asas kukuh untuk mempercepatkan penggunaan logistik autonomi Tahap 4 di Malaysia.
Pengenalan kenderaan autonomi elektrik ini juga mengukuhkan komitmen Pos Malaysia terhadap Pelan Hala Tuju Kemampanan yang memberi penekanan kepada penyahkarbonan dan kecekapan operasi.
Sebagai langkah awal, Pos Malaysia dan ALS akan melaksanakan projek Proof of Concept (PoC) selama enam bulan dalam persekitaran operasi sebenar.
Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Futurise bagi memastikan pematuhan terhadap rangka kerja peraturan, keselamatan dan pembangunan kenderaan autonomi negara, sekali gus membuka jalan ke arah penggunaan logistik autonomi yang lebih meluas, selamat dan lestari di Malaysia. – Berita Harian


