Buletin

PROTON e.MAS 7 2026 DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM99K

PRO-NET, anak syarikat kepada pengeluar kereta nasional PROTON, melancarkan Proton e.MAS 7 model 2026 yang kini dipasang secara tempatan di Malaysia.

Model kenderaan elektrik (EV) ini ditawarkan pada harga bermula RM99,800 bagi pasaran Semenanjung.

Bagi varian Prime, model baharu ini menerima penambahan pintu but elektrik (power tailgate) yang membolehkan pengguna membuka dan menutup ruang simpanan dengan hanya satu sentuhan butang atau melalui alat kawalan jauh. Penutup ruang but jenis tonneau cover yang diperkenalkan tahun lalu turut dikekalkan.

Dari segi spesifikasi, e.MAS 7 Prime menggunakan bateri litium besi fosfat (LFP) Aegis ‘short-blade’ berkapasiti 49.52kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 345km (WLTP).

Ia dipadankan dengan rim aloi 18-inci, skrin sentuh 15.4-inci beresolusi 2.5K, sistem ADAS Tahap 2 serta ciri pintu but elektrik.

Varian Premium pula tampil dengan bateri LFP Aegis berkapasiti lebih besar, 60.22kWh, yang memberikan jarak pemanduan sehingga 410km (WLTP).

Ia turut dilengkapi rim aloi 19-inci, sistem audio Flyme 16 pembesar suara, paparan head-up display, tempat duduk hadapan berpengudaraan serta penambahan tiga ciri ADAS baharu iaitu Evasive Manoeuvre Assist, Front Cross Traffic Alert dan Active Lane Change Assist.

Bagi kedua-dua varian, rangkaian kuasa kekal menggunakan motor elektrik pada gandar hadapan dengan output 218PS dan 320Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j dicapai dalam masa 6.9 saat.

Untuk pengecasan, varian Prime menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW, manakala Premium sehingga 100 kW, dengan kedua-duanya mampu dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam sekitar 20 minit.

Bagi pengecasan AC 11 kW, Prime mengambil kira-kira 4.9 jam untuk penuh (10–100 peratus), sementara Premium sekitar 6.1 jam.

Sempena pelancaran model 2026 ini, PRO-NET turut menawarkan pakej “Welcome Benefit” bernilai RM4,000 kepada pembeli terawal, merangkumi pengecas rumah 7kW percuma, adaptor V2L, data internet tanpa had selama lima tahun, jaminan kenderaan tanpa had jarak perjalanan selama enam tahun, jaminan bateri lapan tahun atau 160,000 kilometer, serta rebat tukar beli khas untuk pemilik Proton.

Dengan tawaran promosi tersebut, harga atas jalan tanpa insurans adalah RM99,800 bagi e.MAS 7 Prime dan RM115,800 bagi e.MAS 7 Premium di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah dan Sarawak masing-masing bermula RM102,800 dan RM118,800. Tawaran ini sah untuk tempoh terhad.

Google ads
Back to top button