
RENAULT 4 E-TECH – SANG LAGENDA YANG KINI KEMBALI SEMULA DENGAN NADI ELEKTRIK SEPENUHNYA
Sekitar puluhan tahun yang lalu, Renault mempunyai sebuah model kecil yang takrifannya boleh diklasifikan sebagai model hatcback atau pun mini wagon. Ianya suatu model yang unik dan cukup ekonomikal. Mula dikeluarkan bermula pada tahun 1961 dan tamat tempoh produksi pada tahun 1994.
Kini tahun 2025 Renault telah memutuskan untuk menghidupkan semula plat nama Renault 4 ini, tetapi dengan sesuatu yang lebih istimewa. Berbanding model asal R4 yang kelihatan lebih asas, Renault 4 E-Tech ini kini tampil dengan sesuatu yang lebih segar dan elegan serta mewah. Paling penting, nadinya kini menggunakan elektrik sepenuhnya.

Renault 4 E-Tech ini dibina berdasarkan platform AmpR Small yang sama digunakan untuk membina model Renault 5 E-Tech. Berbanding model asal, Renault kini telah memberikan takrifan bahawa ianya adalah sebuah model Crossover / SUV yang tampil lebih moden dan bergaya ketika ianya mula dipertontonkan sebagai model konsep sewaktu Paris Motor Show 2022.
Menariknya model ini langsung tidak serupa seperti saudaranya Renault 5 E-Tech, sebaliknya model Renault 4 E-Tech ini berinspirasikan akan model yang asal dari segi bahasa rekaannya. Bahagian gril terdapat lingkaran yang melingkari sehingga ke lampu utama yang berbentuk seakan bulat sama seperti model yang asal.

Dan untuk menjadikan kelihatan sebuah Crossover, maka sudah tentu pemasangan body cladding pada bahagian ruang roda dari hadapan dan belakang cukup kena, ditambah pula dengan rel bumbung di atas.
Rekaan cermin kecil di bahagian belakang pula pastinya mengimbau semula akan model asal yang turut mempunyai set cermin yang serupa.
Bahagian belakang juga mempunyai similariti dengan model asal apatah lagi dengan rekaan lampu belakang yang seolah sedikit terkeluar daripada badan kereta.

Di dalam kabin pastinya cukup mengujakan apabila terdapat kanvas plastik yang boleh dilipat untuk membolehkan penumpangnya menghirup udara segar untuk bertindak seperti bumbung suria. Cuma gunakan butang kawalan sahaja untuk membuka / menutupnya melalui sistem terbaharu, Reno yang merupakan sistem AI lengkap dengan personaliti avatar. Nak buat sembang dalam kereta pun apa ada hal.

Ditawarkan dengan dua trenkuasa, pek bateri 52 kWh dengan kuasa 150 HP, 245 Nm dengan jarak perbatuan sehingga 250 batu. Satu lagi pilihan adalah pek bateri 40 kWh dengan kuasa 120 HP, 225 Nm serta jarak perbatuan hanyalah 186 batu.
Akan mula berada di pasaran UK pertengahan 2025 nanti dengan harga diaras £30,000 (RM171,381). Cukup murah kan untuk sebuah model EV yang kelihatan cukup urban ini.
BACA : RENAULT 5 E-TECH ELECTRIC, MODEL IKONIK KEMBALI! JARAK PEMANDUAN 400KM
BACA : KELAHIRAN SEMULA LAGENDA RENAULT R5 TURBO 3E BAHARU DENGAN UNIT YANG TERHAD