
ROYAL ENFIELD GOAN CLASSIC 350 DILANCARKAN – HARGA MULA RM25K
Royal Enfield Malaysia hari ini rasmi melancarkan Goan Classic 350 baharu untuk pasaran tempatan.
Model ini tampil dengan identiti unik menerusi rekaan klasik bobber yang cukup menyerlah. Antara elemen yang diberikan perhatian termasuk fender pendek, hendal jenis mid-ape, tempat duduk tunggal terapung serta tayar whitewall yang menguatkan imej retro motosikal tersebut.
Goan Classic 350 dijana enjin satu silinder 349cc penyejukan udara-minyak yang menghasilkan kuasa 20.2bhp pada 6,100rpm dan tork 27Nm pada 4,000rpm.
Kuasa itu dipadankan dengan transmisi lima kelajuan bagi memberikan pengalaman tunggangan yang lancar dan santai, sesuai untuk kegunaan harian atau perjalanan jauh.

Motosikal ini dibina menggunakan rangka twin downtube spine bersama suspensi teleskopik 41mm di hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang bagi memastikan tunggangan lebih stabil serta selesa di pelbagai keadaan jalan.
Ia turut dilengkapi rim jejari aluminium bersaiz 19-inci di hadapan dan 16-inci di belakang bersama tayar tanpa tiub whitewall. Sistem brek pula menggunakan cakera 300mm di depan dan 270mm di belakang dengan bantuan ABS dua saluran.
Bagi meningkatkan keselesaan, Royal Enfield menyediakan tempat duduk pembonceng jenis bolt-on yang boleh dipasang atau ditanggalkan mengikut keperluan pengguna.

Walaupun mengekalkan penampilan klasik, Goan Classic 350 tetap dilengkapi teknologi moden seperti pod navigasi Tripper, indikator posisi gear dan port pengecas USB Type-C.
Sistem pencahayaan LED penuh pada lampu utama dan lampu isyarat turut digunakan bagi meningkatkan tahap penglihatan ketika menunggang.
Sebagai pelengkap kepada gaya hidup bohemian yang dibawa model ini, Royal Enfield turut bekerjasama dengan jenama Rafu’D untuk menghasilkan koleksi pakaian khas yang diinspirasikan daripada budaya hippie Goa.
Goan Classic 350 ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Shack Black, Purple Haze, Trip Teal dan Rave Red.

Harga rasmi di Malaysia adalah seperti berikut:
- Shack Black – RM25,200
- Purple Haze – RM25,200
- Trip Teal – RM25,500
- Rave Red – RM25,500
Semua varian hadir bersama jaminan tanpa had perbatuan.
GALERI:



















