Buletin

DENZA B8 RASMI DILANCARKAN – DUA VARIAN, JARAK GERAK 1,040KM, HARGA MULA RM458K

DENZA Malaysia rasmi melancarkan DENZA B8 di Malaysia, sekali gus memperkenalkan model pertama jenama itu di negara ini yang menggunakan teknologi DMO Super Hybrid.

SUV premium berorientasikan off-road itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Dynamic pada harga RM458,800 dan Premium pada RM518,800, tidak termasuk insurans serta pendaftaran.

DENZA B8 dibangunkan untuk menggabungkan prestasi elektrifikasi, kemampuan lasak dan keselesaan mewah dalam satu pakej moden.

Ia menggunakan enjin turbo 2.0 liter bersama dua motor elektrik serta bateri Blade BYD bagi menghasilkan kuasa gabungan sehingga 450kW dan 760Nm tork.

Sistem pacuan empat roda pintar yang digunakan membolehkan SUV ini menawarkan penghantaran kuasa lebih responsif selain cengkaman lebih baik dalam pelbagai keadaan jalan termasuk laluan off-road.

Bateri berkapasiti 36.8kWh pula membolehkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 115 kilometer mengikut kitaran NEDC.

Digabungkan dengan tangki bahan api 91 liter, DENZA B8 mampu mencapai jarak perjalanan keseluruhan sehingga 1,040 kilometer.

Model ini turut menawarkan beberapa mod pemanduan termasuk Pure EV, HEV Series dan Parallel yang akan melaras penggunaan kuasa secara automatik mengikut situasi pemanduan.

Dari segi pengecasan, DENZA B8 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 120kW yang membolehkan bateri dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 16 minit.

Ia juga menyokong pengecasan AC 11kW selain fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 6.6kW untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik luaran.

Antara ciri utama model ini ialah sistem kawalan casis pintar DiSUS-P yang menggunakan teknologi hidraulik bagi meningkatkan kestabilan dan keselesaan pemanduan. Sistem berkenaan membolehkan pelarasan ketinggian sehingga 140mm selain kemampuan meredah air sedalam 890mm.

SUV ini turut memiliki sudut pendekatan 34 darjah dan sudut pelepasan 35 darjah bagi membantu pemanduan di laluan lebih mencabar. Ia dipadankan dengan tayar bersaiz 275/55R20 untuk penampilan lebih agresif dan stabil.

Dari aspek reka bentuk, DENZA B8 tampil dengan identiti futuristik menerusi konsep Starship Mecha yang menampilkan lampu siang LED Starship Wing serta lampu belakang Energy Thruster.

Ruang kabin pula memberi fokus kepada keselesaan premium dengan penggunaan balutan kulit Nappa, susun atur berorientasikan pemandu serta ruang dalaman luas untuk kegunaan harian dan perjalanan jauh.

Varian Premium hadir dengan konfigurasi enam tempat duduk bersama kerusi kapten barisan kedua yang dilengkapi fungsi ottoman, ventilasi dan urutan.

Varian Dynamic pula menawarkan tujuh tempat duduk dengan tempat duduk barisan kedua boleh laras elektrik serta fungsi ventilasi.

Kedua-dua varian dilengkapi sistem audio premium Devialet dengan 18 pembesar suara bagi memberikan pengalaman audio lebih imersif di dalam kabin.

Pelanggan juga boleh memilih lima warna luaran iaitu;

  • Alpine White
  • Dawn Gold
  • Eclipse Black
  • Emerald Green
  • Nebula Silver

Dua pilihan tema dalaman;

  • Onyx Black
  • Jasper Brown

Sebagai tambahan, DENZA Malaysia menawarkan waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000km, servis penyelenggaraan percuma enam tahun bernilai RM10,000 serta waranti bateri voltan tinggi dan unit pacuan selama lapan tahun atau 160,000km.

GALERI:

Google ads
Back to top button