Buletin

GWM TANK 300 HEV DILANCARKAN – JANA KUASA 346PS, HARGA MULA RM259K

GWM Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan GWM TANK 300 HEV untuk pasaran tempatan, ditawarkan pada harga RM259,800 (atas jalan tanpa insurans).

Hadir dengan imej rugged, TANK 300 HEV dibina menggunakan casis ladder frame sebenar yang lazim digunakan pada SUV off-road tulen bagi memastikan tahap ketahanan dan kekuatan struktur lebih tinggi ketika meredah laluan mencabar.

Di bahagian trenkuasa, SUV ini dipadankan dengan enjin turbo 2.0 liter bersama motor elektrik, menghasilkan kuasa gabungan 346PS dan tork maksimum 648Nm.

Enjin pembakaran dalaman menjana 245PS serta 380Nm, manakala motor elektrik menyumbang tambahan 106PS dan 268Nm.

Gabungan sistem hibrid itu bukan sahaja membantu meningkatkan respons pecutan, malah menawarkan pemanduan lebih lancar dan senyap khususnya di kawasan bandar, selain membantu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api untuk perjalanan lebih jauh.

Sebagai SUV yang mengekalkan DNA off-road sebenar, TANK 300 HEV hadir dengan sistem pacuan empat roda On-Demand, gear low-range 4L, serta beberapa mod pemanduan termasuk Normal, Eco, Sport, Snow, Mud dan Sand.

Turut melengkapkan kemampuan off-road ialah fungsi Tank Turn Assist yang membantu mengurangkan radius pusingan ketika melalui laluan sempit, selain sistem Crawl Control untuk memastikan pergerakan lebih stabil di permukaan sukar.

Dari sudut kejuruteraan, struktur badan SUV ini menggunakan keluli ultra berkekuatan tinggi sehingga 1,500 MPa, manakala tahap penggunaan keluli berkekuatan tinggi keseluruhan mencecah 99 peratus. Ia turut memiliki tahap kekakuan kilasan tinggi bagi membantu kestabilan pengendalian ketika pemanduan ekstrem.

Rekaan luarannya mengekalkan identiti berkotak dan maskulin yang menjadi signatur siri TANK, sementara kabin pula diberi sentuhan lebih premium menerusi penggunaan balutan kulit Nappa.

Seperti varian ICE, versi HEV ini turut hadir dengan pelbagai kelengkapan premium bagi meningkatkan tahap keselesaan dan pengalaman pemanduan harian. Antaranya termasuk sistem pendingin hawa automatik lengkap dengan corong penghawa dingin belakang, tempat duduk hadapan larasan kuasa serta fungsi urutan untuk pemandu.

Ruang kabin turut dipertingkat dengan sistem audio premium Infinity sembilan pembesar suara, selain sokongan Apple CarPlay dan Android Auto untuk sambungan telefon pintar yang lebih mudah.

Bagi menambah elemen kemewahan, SUV ini juga dilengkapi bumbung suria serta pencahayaan ambien 64 warna yang boleh disesuaikan mengikut suasana pemanduan.

Bagi aspek keselamatan, TANK 300 HEV dilengkapi sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2 merangkumi Kawalan Kelajuan Adaptif, Brek Kecemasan Autonomi, bantuan kekal lorong, bantuan pertukaran lorong, amaran lintasan trafik belakang serta kamera 360 darjah dan Hill Descent Control.

Varian HEV ini juga menerima beberapa fungsi pintar tambahan seperti sambungan aplikasi kenderaan untuk pemantauan dan kawalan jarak jauh, selain bantuan parkir automatik.

Untuk pasaran Malaysia, GWM menawarkan pilihan warna;

  • Crystal Black
  • Pearl White
  • Sand Beige

Seperti dinyatakan di atas, GWM TANK 300 HEV ditawarkan pada harga RM259,800 (atas jalan tanpa insurans).

Pembeli turut menerima pakej pemilikan termasuk penyelenggaraan percuma selama lima tahun, jaminan seumur hidup bagi enjin dan transmisi untuk pemilik persendirian pertama, selain jaminan bateri hibrid selama lapan tahun atau 180,000 km.

SUV ini kini sudah mula ditawarkan di pusat pengedar terpilih GWM Malaysia di seluruh negara.

Google ads
Back to top button