
SIME DARBY PROPERTY RAIH PELBAGAI ANUGERAH INDUSTRI, KUKUH KEPIMPINAN DAN TADBIR URUS
Sime Darby Property Berhad terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor pembangunan hartanah selepas menerima pelbagai pengiktirafan industri, merangkumi aspek tadbir urus korporat, kepercayaan jenama dan kelestarian.
Pada Anugerah Tadbir Urus Korporat & Kelestarian Nasional 2025 (NACGSA), kumpulan itu merangkul Anugerah Kecemerlangan Industri (Hartanah) serta menduduki tempat kelima dalam senarai 50 Syarikat Tersenarai Awam Terbaik, sekali gus muncul sebagai pemaju hartanah dengan kedudukan tertinggi dalam penarafan berkenaan.
Pengiktirafan ini juga merupakan pencapaian sulung Sime Darby Property di NACGSA.

Anugerah yang dianjurkan oleh Minority Shareholder Watch Group (MSWG) itu menilai syarikat tersenarai berdasarkan rangka kerja telus dan berstruktur, merangkumi kepimpinan lembaga pengarah, hak pemegang saham, amalan pendedahan maklumat, prestasi kelestarian serta penglibatan pihak berkepentingan.
Pencapaian ini melengkapkan kejayaan terdahulu Sime Darby Property di Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN 2025, apabila kumpulan itu turut disenaraikan dalam kelompok 50 syarikat terbaik.
Dalam aspek penjenamaan, Sime Darby Property sekali lagi membuktikan kepercayaan pengguna terhadap jenamanya apabila meraih Anugerah Platinum kategori Hartanah pada Anugerah Jenama Putra 2025.

Kemenangan itu merupakan yang keempat berturut-turut dan kelima secara keseluruhan bagi anugerah Platinum, berdasarkan penilaian pengguna menerusi tinjauan nasional melibatkan lebih 20,000 responden.
Sementara itu, kumpulan berkenaan turut diiktiraf sebagai Syarikat Pembangunan Hartanah Mesra EV Terbaik pada Anugerah Kereta Terbaik Malaysia (MCOTY) 2025, hasil komitmennya menyediakan infrastruktur mesra kenderaan elektrik serta menyokong mobiliti hijau dalam pembangunan komuniti mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Dato’ Seri Azmir Merican berkata, pengiktirafan yang diterima mencerminkan usaha berterusan seluruh organisasi dalam mengekalkan piawaian tinggi tadbir urus, kelestarian dan penciptaan nilai jangka panjang.
Menurutnya, pencapaian itu turut membuktikan pendekatan berdisiplin kumpulan dalam membangunkan hartanah yang memberi manfaat berterusan kepada pelanggan, pemegang kepentingan dan alam sekitar.



