Buletin

TEKNOLOGI EV: CHINA MENANG, EROPAH TERTINGGAL 20 TAHUN

Pakar automotif terkenal Jerman, Profesor Ferdinand Dudenhöffer, memberi amaran bahawa pengeluar kereta Eropah kini menghadapi kekurangan teknologi yang serius dalam revolusi kenderaan elektrik (EV), dengan benua itu ketinggalan sekurang-kurangnya 20 tahun berbanding China dalam pembangunan bateri.

Dalam satu temubual bersama akhbar China Global Times, Dudenhöffer — yang digelar “Auto Pope” oleh media Jerman, menegaskan bahawa kerjasama dengan pembekal China kini menjadi keperluan bagi pengeluar Eropah untuk kekal berdaya saing.

Kelemahan ini jelas apabila lebih 70 peratus bateri bagi EV yang dijual di Eropah menjelang 2025 dijangka datang daripada syarikat China.

Kelebihan kos China juga ketara. Kos pengeluaran bateri di China sekitar 30 peratus lebih rendah berbanding Eropah, manakala kitaran pembangunan pula hampir separuh lebih pantas.

Sebaliknya, pengeluar bateri Eropah menghadapi cabaran besar, termasuk Northvolt dari Sweden yang hampir muflis akibat masalah teknikal dan kelewatan penghantaran, manakala syarikat Perancis ACC menangguhkan rancangan pengembangan kilangnya.

Syarikat bateri gergasi China seperti CATL dan Gotion High-Tech tidak lagi sekadar membekal komponen, tetapi turut menubuhkan operasi pengeluaran di Eropah.

CATL sudah memulakan pengeluaran melalui usaha sama dengan BMW di Jerman, manakala BYD bersama Stellantis kini menghasilkan bateri lithium iron phosphate berkos rendah secara besar-besaran.

Jurang teknologi ini bukan hanya pada bateri. Menurut Dudenhöffer, syarikat China dalam bidang pemanduan automatik dan kokpit pintar seperti QCraft, Horizon Robotics, Xiaomi dan Huawei kini menjadi peneraju trend global, melebihi pengeluar Eropah dan Amerika.

Data Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menunjukkan China menguasai 75 peratus kapasiti pengeluaran bateri dunia, terutamanya dalam teknologi lithium iron phosphate.

Walaupun Eropah cuba memperkukuh rantaian bekalan tempatan melalui Critical Raw Materials Act, kos pengeluaran bateri masih 50 peratus lebih tinggi berbanding China dan lebih 80% bahan kritikal seperti lithium dan nikel perlu diimport.

Dudenhöffer memberi amaran bahawa jika pengeluar Eropah terus bergantung kepada rantaian bekalan tempatan yang kurang efisien, mereka mungkin terlepas peluang dalam peralihan EV global.

Bagaimanapun, kerjasama dengan syarikat China boleh mengubah Eropah daripada sekadar “pusat penggunaan bateri” kepada “tapak ujian teknologi Sino-Jerman”.

Profesor itu turut menekankan kecekapan pembangunan syarikat China yang lebih pantas, dan menyifatkan kerjasama antara industri automotif China dan Eropah sebagai strategi menang-menang, menggabungkan kekuatan kedua-dua pihak.

Google ads
Back to top button