Buletin

TEMPAHAN PROTON e.MAS 7 PHEV KINI DIBUKA – ANGGARAN HARGA BERMULA RM110K

Proton secara rasmi membuka tempahan untuk model plug-in hibrid pertamanya, e.Mas 7 PHEV, sekali gus menandakan kemasukan jenama nasional itu ke dalam segmen kenderaan elektrifikasi dwi-kuasa.

Proton menawarkan e.Mas 7 PHEV dalam tiga pilihan varian iaitu;

  • Prime
  • Premium
  • Premium Plus

Ketiga-tiganya menggunakan sistem hibrid EM-i (E-Motive Intelligence) Super Hybrid yang dibangunkan oleh Geely.

Jantung mekanikalnya ialah enjin petrol 1.5 liter aspirasi semula jadi dengan kitaran Atkinson yang menghasilkan 99PS dan 125Nm tork, digandingkan dengan motor elektrik hadapan berkuasa 218PS dan 262Nm.

Gabungan kedua-duanya memberikan output keseluruhan sehingga 262PS dan 262Nm, disalurkan ke roda hadapan.

Kuasa tersebut dihantar melalui transmisi hibrid khusus jenis DHT satu kelajuan dengan konfigurasi 11-dalam-1, yang turut menggabungkan motor pacuan dan penjana permulaan bersepadu.

Dari segi penggunaan bahan api, angka rasmi mencatatkan sekitar 4.3 liter bagi setiap 100km untuk varian Prime dan Premium, manakala Premium Plus mencatat 4.4 liter bagi setiap 100km berdasarkan kitaran NEDC.

Pemandu boleh memilih antara tiga mod pemanduan:

  • EV
  • Hybrid
  • Power

Bagi prestasi pecutan, varian Prime dan Premium mencatat masa 0–100 km/j dalam 8.0 saat, manakala Premium Plus sekitar 8.2 saat. Kelajuan maksimum bagi semua varian dihadkan kepada 170 km/j.

Setiap varian dibezakan melalui kapasiti bateri, jarak pemanduan elektrik dan keupayaan pengecasan pantas:

Premium Plus

  • Bateri LFP Aegis “short blade” 29.8kWh
  • Jarak EV: 146km
  • Jarak keseluruhan (WLTP): 996km
  • Pengecasan DC: sehingga 60kW (30–80% dalam <16 minit)
  • Pengecasan AC: 6.6kW

Premium & Prime

  • Bateri LFP CATL 18.4kWh
  • Jarak EV: 83km
  • Jarak keseluruhan (WLTP): 943km
  • Pengecasan DC: sehingga 30kW (30–80% dalam <20 minit)
  • Pengecasan AC: 6.6kW

Proton turut memaklumkan bahawa jarak maksimum boleh mencecah lebih 1,000 km berdasarkan kitaran NEDC.

Perbezaan utama antara Premium dan Premium Plus hanyalah pada kapasiti bateri, kadar pengecasan DC yang lebih tinggi serta kehadiran bumbung panoramik.

Selebihnya, kedua-duanya dilengkapi dengan spesifikasi hampir sama, termasuk:

  • Pintu belakang kuasa elektrik
  • Cermin sisi lipat automatik
  • Cermin pandang belakang tanpa bingkai anti-silau
  • Kerusi hadapan larasan elektrik dan pengudaraan
  • Kerusi penumpang hadapan boleh direbahkan rata
  • Lampu ambien 256 warna
  • Skrin infotainmen 15.4-inci resolusi 2.5K
  • Paparan head-up 13.8-inci
  • Pengecas tanpa wayar
  • Sistem audio Flyme Sound Wanos 16 pembesar suara (termasuk pada perehat kepala)
  • Pendingin hawa automatik
  • Tujuh beg udara termasuk beg udara tengah hadapan
  • Kamera 360 darjah dan sensor parkir hadapan

Varian Prime pula hadir dengan kelengkapan lebih asas seperti enam pembesar suara, enam beg udara, kamera undur, rim lebih kecil dan tanpa jalur lampu LED penuh di bahagian hadapan. Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto disediakan untuk semua varian.

SUV ini berukuran 4,740mm panjang, 1,940mm lebar dan 1,685mm tinggi, dengan jarak roda 2,755mm.

Untuk gaya luaran, model PHEV menampilkan identiti luaran berbeza. Bahagian hadapan dihiasi jalur lampu LED penuh yang nipis untuk lampu siang dan isyarat, manakala lampu utama ditempatkan lebih rendah pada bampar.

Pemegang pintu menggunakan rekaan konvensional, sementara di bahagian belakang pula, jalur lampu penuh direka lebih menonjol, dengan kedudukan nombor pendaftaran dialihkan ke pintu but.

Ruang barangan juga lebih luas berbanding varian EV. Dengan kerusi belakang direbahkan, kapasiti maksimum mencecah 2,055 liter. Dalam keadaan biasa, ruang simpanan ialah 528 liter, ditambah ruang storan tersembunyi 100 liter di bawah lantai.

Semua varian dilengkapi sistem bantuan pemandu seperti:

  • Brek kecemasan automatik (AEB)
  • Kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • Kawalan jelajah pintar (ICC)
  • Bantuan lorong
  • Amaran kenderaan hadapan bergerak
  • Pengecaman papan tanda lalu lintas

Namun, varian Prime tidak menerima beberapa ciri tambahan seperti bantuan kekal lorong aktif, amaran pelanggaran belakang, pemantauan titik buta, amaran buka pintu dan pengesan penumpang belakang.

Pilihan warna luaran termasuk Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey dan Azure Blue, manakala kabin ditawarkan dalam Alabaster White atau Onyx Black.

Beralih pada harga, harga anggaran Proton e.Mas 7 PHEV diletakkan dalam lingkungan RM110,000 hingga RM130,000.

Seiring dengan pembukaan tempahan rasmi model ini, Proton turut memperkenalkan promosi khas untuk pembeli terawal.

Seramai 5,000 pelanggan pertama yang membuat tempahan layak menikmati bayaran tempahan pada kadar RM99, selain menerima rebat bernilai RM500.

GALERI:

Google ads
Back to top button