
PROTON e.MAS 7 PHEV CKD DIPASANG DI TANJUNG MALIM
PRO-NET memulakan pengeluaran tempatan (CKD) bagi Proton e.MAS 7 PHEV di Kilang EV PROTON, Automotive High Tech Valley (AHTV), Tanjung Malim, sekali gus mengukuhkan usaha membangunkan ekosistem pembuatan kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan tenaga baharu (xEV) di Malaysia.
Majlis pelancaran pengeluaran CKD itu disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama Timbalan Menteri, YB Sim Tze Tzin. Turut hadir ialah Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.
Sehingga kini, Proton e.MAS 7 PHEV muncul sebagai model PHEV paling laris di Malaysia dengan 4,500 unit didaftarkan sepanjang tahun ini, manakala tempahan keseluruhan telah melepasi 11,000 unit.
Prestasi itu mencerminkan peningkatan keyakinan pengguna terhadap teknologi hibrid plug-in yang menggabungkan pemanduan elektrik dengan kelebihan jarak perjalanan lebih jauh.
Pengeluaran tempatan model ini turut menyaksikan kira-kira 30 peratus komponen diperoleh daripada pembekal tempatan, sekali gus membantu memperkukuh rantaian bekalan automotif negara.
Spesifikasi PROTON e.MAS 7 PHEV

Proton e.MAS 7 PHEV menggunakan sistem EM-i Advanced Hybrid yang menggabungkan enjin petrol 1.5 liter Dedicated Hybrid Engine (DHE) dengan transmisi 11-dalam-1 Dedicated Hybrid Transmission (DHT).
Sistem itu menghasilkan kuasa gabungan maksimum 193kW dan tork maksimum 262Nm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan (FWD). Pemandu juga boleh memilih antara tiga mod pemanduan iaitu;
- Pure
- Hybrid
- Power
Dari aspek prestasi, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 8.0 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 170 km/j.
Ia turut menawarkan penggunaan bahan api serendah 4.3 liter bagi setiap 100 kilometer (NEDC), selain mampu bergerak sehingga 170 kilometer menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.
Dengan gabungan kuasa bateri dan enjin petrol, Proton e.MAS 7 PHEV menawarkan jarak perjalanan keseluruhan sehingga 1,065 kilometer.
Model ini menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 29.8kWh yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 60kW, membolehkan tahap pengecasan meningkat daripada 30 kepada 80 peratus dalam masa kurang daripada 16 minit. Selain itu, ia turut menyokong pengecasan AC 6.6kW untuk kegunaan harian.
Model ini menawarkan ruang simpanan barang berkapasiti 528 liter yang boleh diperluaskan sehingga 2,065 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Ia turut dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 51 liter, jejari pusingan 5.2 meter, serta menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dan Vehicle-to-Vehicle (V2V).

Bahagian luaran dilengkapi lampu utama LED bersama fungsi automatik, Intelligent High Beam Control (IHBC), lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED penuh, bumbung suria panoramik, pintu belakang berkuasa, cermin sisi boleh laras dan dipanaskan secara elektrik, serta pengelap hadapan automatik dengan sensor hujan.
Di dalam kabin, Proton e.MAS 7 PHEV dilengkapi kluster instrumen digital 10.2-inci serta skrin sentuh infotainmen 15.4-inci beresolusi 2.5K yang menggunakan sistem operasi Flyme Auto.
Sistem itu menyokong antara muka Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Apple CarPlay, Android Auto, navigasi dalam talian, peta lokasi pengecas secara langsung, gedung aplikasi, kemas kini over-the-air (OTA), sambungan 4G dan Wi-Fi serta kawalan suara dua zon.
Model ini turut menawarkan pengecas telefon pintar tanpa wayar, paparan Head-Up Display (HUD), penapis kabin N95 dan sistem audio Flyme dengan 16 pembesar suara bagi varian Premium dan Premium Plus.
Dari aspek keselesaan, model ini menawarkan tempat duduk berbalut kulit tiruan dengan pelarasan elektrik, termasuk fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.
Varian Premium dan Premium Plus kini menerima ciri baharu berupa kerusi urut untuk pemandu dan penumpang hadapan, selain kerusi hadapan berpengudaraan, tempat duduk penumpang hadapan yang boleh direbahkan sepenuhnya, pencahayaan ambien 256 warna serta perehat tangan belakang dengan pemegang cawan.
Bagi aspek keselamatan, Proton e.MAS 7 PHEV dilengkapi tujuh beg udara, sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC), Sistem Kawalan Traksi (TCS), ABS, Electronic Brakeforce Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Hill Hold Assist (HHA), Hill Descent Control (HDC), sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), brek regeneratif, kamera 360 darjah dengan paparan 3D, sensor parkir hadapan dan belakang serta pakej ADAS Tahap 2 yang merangkumi ciri seperti;
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Intelligent Cruise Control (ICC)
- Autonomous Emergency Braking (AEB)
- Lane Departure Prevention (LDP)
- Emergency Lane Keep Assist (ELKA)
- Blind Spot Detection (BSD)
- Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
- Rear Cross Traffic Braking (RCTB)




