Buletin

TOYOTA HILUX BEV DILANCARKAN – TAWAR JARAK GERAK 315KM, HARGA MULA RM226K

UMW Toyota Motor (UMWT) melakar satu lagi langkah penting dalam perjalanan ke arah neutral karbon apabila turut Toyota Hilux BEV, versi elektrik sepenuhnya bagi model pikap ikonik tersebut.

Buat pertama kali, sistem pacuan elektrik diperkenalkan tanpa menjejaskan reputasi “Quality, Durability and Reliability” (QDR) yang menjadi tunjang model ini sejak sekian lama. Ia juga kekal menggunakan struktur body-on-frame, mengekalkan kekuatan asas yang sinonim dengan Hilux.

Dari segi rekaan, Hilux BEV tampil dengan konsep “Cyber Sumo” yang menyerlahkan imej tegap dan berotot.

Bahagian hadapan menggunakan gril tertutup yang lebih aerodinamik, selari dengan karakter kenderaan elektrik, manakala rim aloi 17-inci direka khusus untuk varian ini. Lampu LED moden dengan projektor nipis serta lampu nyalaan siang memberikan identiti premium, sambil mengekalkan rupa lasak melalui lengkungan roda geometrik dan permukaan badan yang kukuh.

Dimensi keseluruhan kekal seperti model Double Cab sedia ada, dengan panjang 5,320mm, lebar 1,855mm, tinggi 1,865mm serta jarak roda 3,085mm.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu; Ash, Platinum White Pearl dan Super White 2.

Masuk ke ruang dalaman, konsep “Tough and Agile” diterapkan dengan susun atur praktikal tetapi selesa seperti sebuah kenderaan penumpang. Tempat duduk dibalut gabungan kulit dengan kemasan lembut, sementara tempat duduk pemandu hadir dengan larasan kuasa 10 hala dan penumpang hadapan larasan manual enam hala.

Sistem infotainmen dipaparkan melalui skrin sentuh 12.3-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, bersama paparan meter digital bersaiz sama untuk pemandu. Kawalan utama boleh diakses melalui butang pada stereng yang direka lebih ergonomik.

Turut disediakan aplikasi Toyota Remote yang membolehkan kawalan jarak jauh seperti buka kunci, hidupkan enjin, pengesanan lokasi serta tempahan servis.

Dari sudut teknikal, Hilux BEV menggunakan sistem pacuan elektrik dengan dua eAxle di hadapan dan belakang yang menggabungkan inverter serta transaxle.

Unit hadapan menghasilkan 206Nm manakala belakang 267Nm, dengan kuasa keseluruhan 144kW (196 PS). Sistem penukaran gear menggunakan “shift-by-wire” bersama brek parkir elektronik untuk operasi lebih lancar.

Tenaga disimpan dalam bateri lithium-ion 59.2kWh yang direka khas untuk dipasang dalam rangka kenderaan.

Menurutnya, kedudukan ini bukan sahaja menurunkan pusat graviti, malah tidak mengganggu ruang kabin atau ruang muatan. Sistem penyejukan menggunakan cecair khas tahan lama bagi memastikan keselamatan dan prestasi optimum.

Bateri ini dilindungi dengan struktur kukuh termasuk pelindung bawah serta rangka yang diperkukuh dengan bahan penyerap hentakan aluminium. Ini memastikan ketahanan walaupun dalam keadaan pemanduan mencabar seperti laluan off-road.

Untuk pengecasan, ia menyokong pengecas DC pantas sehingga 150kW yang mampu mengecas dari 10% ke 80% dalam sekitar 30 minit. Pengecasan AC pula sehingga 10kW mengambil kira-kira 6.5 jam untuk penuh.

Dengan sekali cas penuh, jarak perjalanan dianggarkan sekitar 315km (NEDC), bergantung kepada keadaan pemanduan dan beban.

Dari segi prestasi, Hilux BEV dilengkapi sistem stereng kuasa elektrik (EPS) buat pertama kali, memberikan respon lebih tepat serta kawalan lebih mudah di jalan raya dan off-road. Sistem ini juga lebih cekap tenaga kerana hanya menggunakan kuasa apabila diperlukan.

Keupayaan praktikal kekal menjadi keutamaan, dengan kapasiti muatan sekitar 750 kg – seimbang antara prestasi elektrik dan kegunaan harian.

Keupayaan meredah air sehingga 700mm serta sudut masuk dan keluar yang setanding model konvensional memastikan ia masih relevan untuk kegunaan lasak.

Menariknya, Hilux BEV turut dilengkapi sistem Multi-Terrain Select (MTS) dengan lima mod termasuk rock, sand, mud, dirt dan “mogul” untuk permukaan tidak rata. Sistem ini secara automatik mengawal kuasa dan brek bagi memastikan cengkaman optimum di pelbagai keadaan.

Dari segi keselamatan, ia hadir dengan Toyota Safety Sense generasi terkini yang merangkumi Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Auto High Beam. Turut disertakan Paparan 360 darjah (Panoramic View Monitor) bagi membantu pemandu semasa parkir dan manuver.

Bagi memastikan ia kekal sebagai sebuah Hilux sebenar, model ini telah melalui ujian ketahanan yang ketat termasuk ujian redah air dalam, laluan off-road serta ujian perlindungan terhadap kemasukan air ke sistem elektrik. Hasilnya, ciri ketahanan dan kebolehpercayaan kekal tidak dikompromi.

Untuk harga, Hilux BEV boleh dimiliki pada harga bermula RM226,300.00.

Dari aspek sokongan selepas jualan, Hilux BEV ditawarkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km, manakala bateri dilindungi sehingga lapan tahun tanpa had perbatuan, dengan pilihan lanjutan sehingga 10 tahun. Ia turut disokong rangkaian servis Toyota di seluruh negara.

GALERI:

Google ads
Back to top button