
TOYOTA URBAN CRUISER TIBA DI PASARAN MALAYSIA – JARAK GERAK 426KM, HARGA MULA RM198K
Model ketiga dilancarkan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) adalah Toyota Urban Cruiser, sebuah SUV segmen-B yang direka khusus untuk memenuhi keperluan mobiliti bandar moden.
Selepas kemunculan model utama bZ4X, Urban Cruiser hadir sebagai pilihan lebih kompak, praktikal dan mesra pengguna dalam rangkaian BEV Toyota.
Model ini diimport sepenuhnya (CBU) dari India dan turut dipasarkan di beberapa negara ASEAN serta Eropah.
Dari segi reka bentuk, Urban Cruiser menggabungkan elemen berteknologi tinggi dengan menghasilkan imej yang moden dan bertenaga.

Bahagian hadapan menampilkan identiti “hammerhead” dengan lampu utama nipis serta lampu siang LED mendatar.
Di belakang, lampu LED melintang sepenuhnya merentasi pintu belakang, menghasilkan identiti pencahayaan yang unik.
Bentuk keseluruhan badan turut dioptimumkan untuk aerodinamik, membantu mengurangkan rintangan angin bagi meningkatkan kecekapan tenaga. Rim aloi 18-inci dengan rekaan ringan dan aerodinamik turut menyumbang kepada kecekapan pemanduan.
Dengan dimensi panjang 4,285mm, lebar 1,800mm dan tinggi 1,635mm serta jarak roda 2,700mm, Urban Cruiser menawarkan keseimbangan antara saiz kompak dan ruang dalaman yang luas—sesuai untuk kegunaan bandar.

Empat pilihan warna disediakan iaitu; Pearl Arctic White, Pearl Bluish Black, Grandeur Grey dan Land Breeze Green.
Masuk ke ruang kabin, reka bentuk dalaman menampilkan gabungan elemen moden EV seperti panel instrumen 10.25-inci dan skrin infotainmen 10.1-inci resolusi tinggi. Kedua-duanya direka untuk kejelasan dan kemudahan penggunaan, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem audio premium JBL turut disertakan sebagai standard.
Tema warna dalaman berasaskan tona coklat dengan gabungan bahan seperti kulit sintetik berlubang, fabrik melange bernafas dan kemasan lembut, memberikan suasana premium.
Pencahayaan ambien dengan 12 pilihan warna serta pelarasan tahap kecerahan menambah keselesaan kabin, manakala bumbung kaca meningkatkan rasa lapang.
Fleksibiliti turut menjadi kelebihan utama, dengan tempat duduk belakang boleh gelongsor serta sandaran boleh laras dan dilipat 40:20:40. Ruang kargo boleh berubah antara 238 liter hingga 562 liter bergantung konfigurasi, sesuai untuk pelbagai keperluan harian.

Dari aspek prestasi, Urban Cruiser menggunakan sistem pacuan elektrik dengan eAxle kompak yang menggabungkan motor, inverter dan gear pengurangan. Ia menghasilkan kuasa 128kW (174PS) dan tork maksimum 193Nm.
Tiga mod pemanduan disediakan iaitu ECO, NORMAL dan SPORT, selain mod satu pedal (1-Pedal) untuk kawalan nyahpecutan.
Model ini dipacu oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 61.1kWh yang menawarkan ketahanan tinggi dan keselamatan lebih baik, dengan jarak perjalanan sehingga 426km.
Pengecasan pantas DC membolehkan bateri dicas dari 15% ke 80% dalam sekitar 50 minit, manakala pengecasan AC 7kW mengambil kira-kira 9.5 jam untuk penuh.

Turut disediakan mod “My Room” yang membolehkan penghuni menggunakan sistem pendingin hawa dan audio ketika kenderaan sedang dicas.
Dari segi casis, platform khusus EV digunakan dengan sistem suspensi MacPherson strut di hadapan dan multi-link di belakang, memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan. Jejari pusingan kecil sekitar 5.2 meter memudahkan pergerakan di kawasan bandar sempit.
Aspek keselamatan diperkukuh dengan pelbagai sistem bantuan pemandu termasuk Brake Support System, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist (LKA), Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert. Sistem lampu tinggi adaptif turut melaras pencahayaan secara automatik mengikut keadaan jalan.
Sistem kamera 360 darjah dengan paparan pelbagai sudut memudahkan pemandu ketika parkir, manakala struktur badan direka dengan elemen penyerap hentakan untuk melindungi bateri. Sebanyak tujuh beg udara SRS disediakan bagi keselamatan penumpang.
Untuk harga, Urban Cruiser ditawarkan pada harga bermula RM198,000.00.
Dari segi sokongan selepas jualan, Urban Cruiser hadir dengan jaminan kenderaan lima tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan bateri dan komponen EV selama lapan tahun tanpa had perbatuan. Ia turut disokong oleh rangkaian servis Toyota di seluruh negara.
GALERI:



















