Buletin

TOYOTA bZ4X RASMI DILANCARKAN – JARAK GERAK 525KM, HARGA MULA RM220K

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini secara rasmi melancarkan Toyota bZ4X, model utama dalam barisan kenderaan elektrik bateri (BEV) siri bZ.

Dari segi rekaan, bZ4X menampilkan konsep “Hi-Tech and Emotion” dengan identiti hadapan berbentuk “Hammerhead” yang menjadi ciri khas siri bZ. Penampilan hadapan yang menekankan bahagian bucu menghasilkan imej futuristik, manakala bentuk bampar melengkung menyumbang kepada kecekapan aerodinamik.

Garisan badan yang mengalir dari depan ke belakang serta siluet rendah memberikan rupa dinamik, disokong oleh pekali seretan udara sekitar 0.27 Cd.

Ciri aerodinamik turut dipertingkat dengan bahagian bawah kenderaan yang dilitupi sepenuhnya bagi melancarkan aliran udara, selain kehadiran spoiler bumbung dan ‘ducktail’ di belakang untuk mengurangkan rintangan.

Lampu LED moden dengan susun atur berlapis serta lampu siang menyerlahkan lagi identiti visual. Model ini turut dilengkapi rim aloi 20-inci dengan tayar rintangan rendah bersaiz 235/50R20.

Dari segi dimensi, bZ4X berukuran 4,690mm panjang, 1,860mm lebar dan 1,650mm tinggi dengan jarak roda 2,850mm.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu;

  • Precious Metal
  • Attitude Black MC
  • Emotional Red
  • Dark Blue MC
  • Platinum White Pearl MC

Masuk ke ruang kabin, bZ4X menampilkan susun atur ringkas dan terbuka dengan papan pemuka rendah bagi memberikan pandangan jelas kepada pemandu. Konsol tengah berbentuk “digital island” menempatkan kawalan penting termasuk tombol penukar gear, sekali gus meningkatkan ruang dan keselesaan.

Sistem infotainmen dipacu skrin sentuh 14-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bersama fungsi kawalan suara. Paparan pemandu pula menggunakan panel digital 7-inci yang direka agar tidak mengganggu pandangan.

Paddle shifter disediakan untuk melaras tahap brek regeneratif, membolehkan tenaga dipulihkan semasa membrek.

Dari segi keselesaan, tempat duduk hadapan hadir dengan larasan kuasa lapan hala serta sokongan lumbar untuk pemandu, selain fungsi pengudaraan bagi keselesaan dalam cuaca panas.

Sistem pendingin hawa turut dilengkapi teknologi nanoeX yang membantu meningkatkan kualiti udara kabin. Pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, bumbung kaca panoramik serta penebat bunyi menyumbang kepada suasana dalaman yang lebih premium dan senyap.

bZ4X dibina di atas platform e-TNGA, iaitu seni bina khusus untuk kenderaan elektrik. Kedudukan bateri yang rendah membantu menurunkan pusat graviti, manakala struktur rangka yang diperkukuh meningkatkan ketegaran casis dan kestabilan pemanduan.

Model ini menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 73.1kWh yang dibangunkan dengan fokus kepada ketahanan dan keselamatan.

Sistem pemantauan sel individu serta penyejukan cecair memastikan prestasi optimum. Toyota mensasarkan bateri ini mampu mengekalkan sekitar 90% kapasiti selepas 10 tahun atau 250,000 km penggunaan.

Motor elektrik pacuan hadapan menghasilkan 167kW dan 269Nm, menawarkan pecutan lancar dengan dua mod pemanduan iaitu Normal dan Eco.

Jarak gerak maksimum mencecah sehingga 525km dengan sekali cas penuh.

Untuk pengecasan, sistem DC pantas sehingga 150kW membolehkan bateri dicas hingga 80% dalam kira-kira 30 minit, manakala pengecas AC 22kW turut disediakan.

Dari sudut keselamatan, bZ4X dilengkapi Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Adaptive High Beam dan Blind Spot Monitor.

Ia turut disokong fungsi tambahan seperti Intelligent Parking Assist, Parking Support Brake, Safe Exit Assist dan Road Sign Assist. Paparan 360 darjah melalui Panoramic View Monitor memudahkan pemandu semasa parkir.

Perlindungan penumpang dipertingkat dengan lapan beg udara SRS termasuk beg udara tengah hadapan.

Dari aspek harga, Toyota bZ4X ditawarkan pada anggaran RM220,000 atas jalan tanpa insurans.

Seperti model Toyota lain di Malaysia, bZ4X disokong rangkaian servis UMWT di seluruh negara, dengan jaminan kenderaan lima tahun tanpa had perbatuan serta jaminan bateri lapan tahun tanpa had perbatuan.

GALERI:

Google ads
Back to top button