Buletin

TOYOTA HILUX TRAVO DEBUT 10 NOVEMBER INI DI THAILAND

Selepas beberapa minggu dipenuhi spekulasi dan imej teaser, Toyota akhirnya mengesahkan bahawa trak pikap lagenda mereka, Hilux, bakal tampil dengan wajah baharu secara rasmi pada 10 November ini di Thailand.

Model yang dikenali sebagai Hilux Travo untuk pasaran tersebut akan menggantikan Hilux Revo sedia ada yang telah berada di pasaran sejak 2015.

Walaupun disebut sebagai “generasi baharu”, perubahan kali ini bukan sepenuhnya dari bawah ke atas. Sebaliknya, ia lebih kepada peningkatan besar-besaran dari segi reka bentuk dan kemasan, masih berasaskan platform IMV yang sama.

Toyota dikatakan tidak beralih ke platform TNGA-F (seperti pada Land Cruiser dan Tacoma) atas faktor kos pembangunan.

Dari beberapa teaser rasmi yang dikongsikan di media sosial Toyota Motor Thailand, jelas kelihatan Hilux Travo bakal tampil dengan rekaan luaran serba moden dan lebih agresif, sementara ruang dalaman dikatakan diinspirasikan dari Land Cruiser Prado.

Untuk bahagian mekanikal, laporan dari Australia menyebut bahawa enjin 1GD-FTV 2.8L turbodiesel akan dikekalkan, sama ada dalam bentuk biasa atau digandingkan dengan sistem mild-hybrid 48V bagi meningkatkan kecekapan bahan api.

Namun begitu, varian 2.4L diesel dan 2.7L petrol lama bakal digugurkan sepenuhnya. Menariknya, Toyota dijangka memperkenalkan semula pilihan enjin petrol 2.0L turbo sekitar tahun 2028, hasil projek bersama dengan Mazda dan Subaru yang dikatakan mampu menjana 224kW.

Selain itu, laporan dari drive.com.au mendakwa bahawa konfigurasi Xtra Cab akan dihentikan, meninggalkan hanya varian Single Cab dan Double Cab dalam barisan model baharu ini.

Kotak gear manual enam kelajuan masih dikekalkan untuk varian asas tanpa sistem 48V, manakala transmisi automatik lapan kelajuan dari Prado dijangka menggantikan unit automatik enam kelajuan sedia ada.

Selepas debut globalnya, Hilux Travo dijadualkan memulakan produksi di kilang Prospecton, Durban, dan pelancaran global dijangka berlaku sekitar suku pertama atau kedua tahun 2026.

Dengan hanya seminggu berbaki sebelum pelancaran rasmi, kita boleh menjangkakan lebih banyak teaser dan maklumat tambahan akan muncul dalam masa terdekat.

Google ads
Back to top button