Buletin

TQ WULING MULAKAN PEMASANGAN TEMPATAN BINGO EV DI MALAYSIA

TQ WULING mengumumkan permulaan pemasangan tempatan (CKD) bagi model elektrik bandar, Bingo EV, di fasiliti milik Kumpulan Tan Chong di Segambut.

Pada peringkat awal, pengeluaran dibuat secara berperingkat dengan kapasiti boleh ditingkatkan mengikut permintaan pasaran.

Bingo EV menjadi model EV pertama dipasang di pusat pemasangan Tan Chong dan ditawarkan pada harga lebih kompetitif.

Ia turut menonjol dari aspek keselamatan dengan enam beg udara serta struktur badan menggunakan keluli ultra-berkekuatan tinggi 1,500 MPa.

Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Bingo PRO pada harga RM67,800 dan Bingo MAX RM72,800.

Sempena pengenalan, rebat tunai RM5,000 diberikan, menjadikan harga atas jalan masing-masing RM62,800 dan RM67,800.

Seramai 500 pelanggan terawal turut menikmati pakej manfaat bernilai sehingga RM12,000 termasuk rebat tunai, jaminan bateri dan motor, ansuran bulanan bermula RM625, pengecas rumah 7kW, pengecas mudah alih, pakej penapisan solar premium serta perlindungan insurans khas EV.

Tempahan boleh dibuat dengan bayaran serendah RM50 menerusi laman web rasmi TQ WULING, bilik pameran atau jerayawara.

Dari segi prestasi, Bingo PRO menawarkan jarak pemanduan sehingga 333km (CLTC), manakala Bingo MAX sehingga 410km (CLTC) bagi setiap cas penuh.

Rekaannya kompak dengan sentuhan retro moden, dilengkapi dua skrin 10.25-inci, 15 ruang simpanan kabin serta ruang but sehingga 1,240 liter apabila kerusi belakang dilipat.

Pilihan warna termasuk Milky White, Neon Blue dan Lavender Purple dengan bumbung hitam.

Bingo EV hadir dengan jaminan bateri lapan tahun atau 120,000 km, motor pemacu lapan tahun atau 160,000 km dan jaminan kenderaan lima tahun atau 150,000 km.

Ketika ini, enam bilik pameran TQ WULING beroperasi di Semenanjung Malaysia, disokong tujuh pusat servis rangkaian Tan Chong, dengan lebih banyak cawangan bakal dibuka tidak lama lagi.

Google ads
Back to top button