Buletin

UMW TOYOTA MULAKAN SERAHAN TOYOTA HARRIER 2018

Susulan sesi pra-tonton Toyota Harrier serba baru pada acara Malaysia Auto Show 2017 November tahun lalu, UMW Toyota Motor telah menerima banyak tempahan bagi model yang buat pertama kalinya dijual secara rasmi di Malaysia itu.

Unit bagi kumpulan pertama kini sudah mula diserahkan kepada pelanggan yang membuat tempahan awal dengan harga bermula dari RM238,000 di Semenanjung Malaysia.

“Kami sangat teruja dengan maklum balas yang diterima. Memandangkan model generasi sebelumnya hanya untuk pasaran domestik Jepun sahaja, kami tidak dapat menjualnya secara rasmi di Malaysia.

“Bagaimanapun, Toyota Motor Corporation telah mengambil keputusan untuk menawarkannya bagi pasaran di luar Jepun. Maka Malaysia antara negara terawal yang menjualnya secara rasmi,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

Toyota Harrier datang dengan jaminan lima tahun dan tanpa had perbatuan, stok bagi alat ganti tulennya.  

Toyota Harrier menggunakan gril yang lebih aerodinamik dengan lencana helang khas agar kelihatan gresif dan elegan. Lampu utama, lampu nyalaan siang (DRL), lampu selekoh, lampu kabus serta lampu belakang semuanya menggunakan LED. Lampu isyarat membelok di hadapan menggunakan paparan berturutan (sequential display).

Harrier 2.0T yang diimport sepenuhnya (CBU) dilengkapi enjin 2.0 liter dengan pengecas turbo. Dua versi ditawarkan — Harrier 2.0T Premium dan Harrier 2.0T Luxury yang hadir dengan kelengkapan tambahan. Terdapat empat pilihan warna semuanya.

Model ini menggunakan enjin petrol 8AR-FTS dengan pengecas turbo pusaran berkembar (twin scroll). Enjin ini turut menggunakan penyuntik minyak terus D-4ST dan sistem VVT-iW (Variable Valve Timing-intelligent Wide).

Pemilik-pemilik Toyota Harrier serba baru dilindungi oleh pakej Toyota Safety Sense (TSS), satu set sistem keselamatan aktif yang julung-julung kalinya ditawarkan pada model kenderaan Toyota di Malaysia.

Ia terdiri daripada Sistem Pra-Perlanggaran, Kawalan Jelajah Adaptif, Sistem Penetap Laluan, Amaran Penukar Laluan dan Sistem Lampu Tinggi Adaptif.

Ciri-ciri keselamatan lain yang turut disertakan ialah Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Lampu Isyarat Kecemasan (yang menyalakan lampu kecemasan sebagai amaran dalam situasi brek secara mengejut), Brek Parkir Elektronik + Brek Pegun Auto serta sensor parkir dengan kamera undur dan tujuh beg udara SRS.

Google ads
Back to top button