Buletin

SALEEN MUSTANG CUSTOM – BEBASKAN NALURI JURUGAMBAR DALAM DIRI ANDA (+VIDEO)

Tentu korang kenal Mustang bukan? Kereta kuda berotot dari Amerika. Tengok sekilas pada gambar di atas pun korang mesti tahu yang Mustang ini bukannya model standard pekak. Siap ada kotak kaca macam akuarium lagi kat belakang.

Ini kerana Mustang yang dipaparkan ini ialah sebuah kereta kamera khas yang digunakan sewaktu penggambaran filem Need For Speed lakonan Aaron Paul dan Dominic Cooper pada tahun 2014.

Mustang custom ini merupakan fabrikasi Saleen yang turut menghasilkan supercar S7 (salah satu kereta dalam filem tersebut). Ia menggunakan Ford Mustang GT 2013 sebagai asas dengan enjin Coyote V8 5.0-liter dan dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

Modifikasi khas untuk kereta ini ialah kotak kaca pada bahagian belakang untuk kegunaan jurugambar video. Ia juga dilengkapkan dengan bar-bar besi di depan, belakang dan bumbung untuk menempatkan kamera video.

BACA: 5 FILEM AKSI KERETA TERBAIK PILIHAN KAMI

Jangan ingat ia tidak dimodifikasi secara menyeluruh kerana kereta ini turut dilengkapi dengan cakera brek bersaiz 14-inci, roll-cage penuh perlumbaan dan tempat duduk bucket perlumbaan keluaran Corbeau lengkap dengan talipinggang keselamatan 4-points.

Jika korang saksikan pautan video yang kami sertakan mungkin korang akan perasan yang kereta ini turut dilengkapi dengan kit supercharger Saleen yang membolehkan kereta ini menghasilkan 625 hp yang membolehkannya mengejar dan merekod adegan kejar-mengejar supercar-supercar eksotik dalam filem tersebut.

Akhir sekali ia dilayangkan dengan semburan cat matte black untuk mengurangkan kilauan dan refleksi yang tidak diperlukan dalam filem.

Kereta ini bakal dilelong pada 21 Januari (Ahad depan) di Scottsdale oleh Barret-Jackson dan mungkin membolehkan pemiliknya merakam filem perlumbaan sendiri. Pak Amid pun tengah bodek Abang Japar supaya beli kereta macam ni sebijik. Senang sikit nak shoot gambar kereta, sambil shoot gambar sambil melaram. Ok tak?

Google ads
Back to top button