Buletin

BMW PERLI TOYOTA ‘BORING’, TAPI REKA BENTUK X5 BAHARU JADI BAHAN NETIZEN

Tindakan BMW membandingkan reka bentuk Toyota Corolla keluaran 1991 dengan model terbaharu BMW X5 2027 mengundang kritikan pengguna media sosial selepas hantaran pengeluar automotif Jerman itu menerima pelbagai reaksi negatif.

Menerusi satu hantaran di Instagram, BMW memaparkan imej sebuah Toyota Corolla generasi ketujuh (E100) tanpa lencana pengeluar, sebelum membandingkannya dengan bahagian hadapan BMW X5 generasi baharu yang menggunakan bahasa reka bentuk Neue Klasse.

BMW turut menyifatkan reka bentuk Toyota tersebut sebagai ‘boring’ atau membosankan, sambil mengetengahkan identiti reka bentuk model keluarannya menerusi kapsyen yang membawa mesej bahawa BMW bukan sekadar menghasilkan kereta, sebaliknya menawarkan karakter tersendiri.

Imej pertama yang digunakan dipercayai dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI), dengan paparan sebuah Corolla generasi E100 yang mula diperkenalkan pada 1991 dan berada dalam pasaran sehingga 1997.

Model berkenaan menampilkan reka bentuk ringkas dengan lampu hadapan halogen, bampar plastik serta kemasan luaran yang bersahaja, mencerminkan pendekatan reka bentuk kereta ekonomi pada era tersebut.

Bagaimanapun, perbandingan itu tidak mendapat sambutan seperti yang mungkin diharapkan BMW. Sebaliknya, ruangan komen dipenuhi pengguna yang mempertahankan Toyota Corolla, malah ada menyifatkan reka bentuk model berkenaan sebagai klasik dan bukannya membosankan.

Sebahagian pengguna turut mempersoalkan reka bentuk BMW X5 baharu, khususnya pendekatan Neue Klasse yang menjadi identiti visual generasi terbaharu model tersebut.

Ada juga yang menganggap tindakan BMW itu sebagai strategi pemasaran provokatif atau ‘rage bait’ bagi mencetuskan perdebatan dan meningkatkan interaksi di media sosial.

Walaupun begitu, masih terdapat peminat yang mempertahankan BMW, namun kebanyakannya lebih cenderung memuji model klasik jenama itu seperti BMW E30 dan E39.

Menariknya, BMW turut membalas salah satu komen positif dengan menyatakan bahawa terdapat banyak usaha di sebalik usaha menghasilkan sebuah kenderaan yang benar-benar membawa identiti pemanduan BMW.

Sama ada hantaran tersebut sekadar gurauan atau strategi pemasaran untuk mencetuskan perhatian, reaksi pengguna jelas menunjukkan bahawa Toyota Corolla generasi 1990-an masih mempunyai tempat dalam kalangan peminat automotif.

Malah, perdebatan itu turut memperlihatkan bagaimana reka bentuk ringkas dan ketahanan sebuah kereta mampu meninggalkan nilai tersendiri, meskipun usianya sudah menjangkau lebih tiga dekad.

Google ads
Back to top button