Buletin

VINFAST LẠC HỒNG 900 LX – INI SUV KE KERETA KEBAL?

VinFast mungkin masih asing di jalan raya, namun di tanah kelahirannya Vietnam, jenama automotif ini terus berkembang pesat.

Terbaru, syarikat itu memperkenalkan Lạc Hồng 900 LX, sebuah SUV mewah yang dibangunkan bersama pakar perisai kenderaan, Inkas.

Berbeza dengan model mampu milik VinFast lain, 900 LX jelas disasarkan untuk golongan atasan, eksekutif ternama atau pegawai kerajaan yang mementingkan kemewahan seiring perlindungan tahap tinggi.

Model ini berkongsi asas dengan VinFast VF 9, dan ditawarkan dalam dua versi – biasa dan berperisai. Bagi edisi Inkas, ia sudah mendapat pensijilan rasmi untuk digunakan di jalan raya Vietnam serta diuji mampu menahan tembakan peluru rifle, termasuk jenis penembus perisai.

Lebih mengagumkan, ketika ujian dijalankan, SUV ini berjaya bertahan daripada 400 das tembakan berpandukan laser dan juga letupan serentak dua bom tangan DM51.

Walaupun sarat dengan perlindungan tambahan, reka bentuk luaran model berperisai hampir tidak berbeza dengan versi standard.

Dari segi kuasa, kedua-dua varian menggunakan pek bateri 123kWh daripada CATL. Model standard dilengkapi dua motor elektrik yang menghasilkan 402hp dan tork 620Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 6.8 saat.

Bagi versi berperisai, kuasa dinaikkan kepada 455hp, namun masa pecutan meningkat kepada 9.8 saat akibat berat tambahan lapisan perlindungan.

Dari segi gaya, Lạc Hồng 900 LX tampil lebih eksklusif berbanding VF 9 asasnya. Ia menampilkan gril krom khas, hiasan berwarna emas pada pemegang pintu serta lambang hud, yang diteruskan ke ruang kabin dengan balutan kulit premium, kayu hiasan dan sentuhan mewah lain.

Google ads
Back to top button